Meterai MoU penyelidikan, perkhidmatan syariah halal dunia

Meterai MoU penyelidikan, perkhidmatan syariah halal dunia

GEORGE TOWN, 20 Dis (Bernama) – Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) untuk menjalankan penyelidikan dan perkhidmatan yang melibatkan pematuhan syariah serta pengesahan halal dunia.

Naib Canselor USM Prof Datuk Dr Omar Osman berkata perjanjian persefahaman itu bakal menggabungkan kepakaran antara USM dan UIAM dan menerusinya ia dapat dikembangkan dalam kalangan lebih 300 negara Pertubuhan Islam Sedunia (OIC) serta negara-negara yang memerlukan pematuhan kepada syariah.

Selain itu Omar berkata USM juga berhasrat untuk bekerjasama dengan universiti awam lain di negara ini bagi mengembangkan lagi penyelidikan di dalam bidang syariah dan sains.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani MOU itu di sebuah hotel di Batu Ferringhi di sini hari ini.

Sementara itu, Rektor UIAM Profesor Datuk Seri Zaleha Kamaruddin berkata universiti tersebut juga ingin memastikan akan dapat bersama-sama universiti awam lain untuk menerajui usaha tersebut mengikut kesesuaian kepakaran yang ada.

Beliau berkata sebagai permulaan, universiti itu menjalankan kerjasama dengan USM yang mempunyai kekuatan kepakaran dalam bidang sains.

“Saya pasti selain IIUM dan USM, banyak lagi universiti awam lain yang boleh berkongsi bagi mengukuhkan usaha ini di peringkat global,” katanya.

Terdahulu, Omar dan Zaleha menandatangani perjanjian itu dengan disaksikan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datuk Prof Dr Asma Ismail; Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) Prof Emiritus Datuk Dr Kamarudin Hussin serta 18 orang Naib Canselor yang berada di Pulau Pinang untuk menghadiri mesyuarat JKNC/R di sini.

ARTIKEL YANG SAMA