Meterai perjanjian TechXpo

Meterai perjanjian TechXpo

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Sept – TechXpo 2015 anjuran InfoCom Federation Brunei (IFB) dengan dikendalikan oleh D’Sunlit Sdn Bhd dan disokong oleh Kementerian Perhubungan dan AITI akan diadakan pada 22 hingga 25 Oktober depan di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Sehubungan itu, majlis penandatanganan perjanjian di antara pihak penganjur, pihak pengurusan dan rakan-rakan kongsi telah diadakan hari ini di premis D’Sunlit Sdn Bhd di Beribi, di sini.

Hadir menyaksikan penandatanganan berkenaan selaku tetamu kehormat majlis tersebut ialah Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Perhubungan, Awang Mohd Riza bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos.

Menandatangani bagi pihak IFB ialah Pengerusinya, Sheikh Haji Abas bin Sheikh Mohamad dengan disaksikan oleh Setiausaha IFB, Vincent Chok, manakala D’Sunlit pula diwakili oleh Pengarah Eksekutif, Dato Paduka Haji Danial bin Haji Hanafiah dan disaksikan oleh Pengarah Urusan, Jackson Ting.

Kemudian majlis menyaksikan penandatanganan perjanjian di antara IFB, D’Sunlit dan rakan-rakan kongsi yang mana selepas penandatanganan itu setiap rakan kongsi menerima baju rasmi bagi acara itu.

Awang Mohd Riza (tengah) menyaksikan majlis penandatanganan antara penganjur IFB, pihak D’Sunlit Sdn Bhd dan wakil rakan kongsi media cetak Brunei Press Sdn Bhd, Timbalan Pengurus Besarnya, Hazizah Osman (dua kiri).
Awang Mohd Riza (tengah) menyaksikan majlis penandatanganan antara penganjur IFB, pihak D’Sunlit Sdn Bhd dan wakil rakan kongsi media cetak Brunei Press Sdn Bhd, Timbalan Pengurus Besarnya, Hazizah Osman (dua kiri).
Tetamu kehormat bergambar ramai bersama rakan-rakan kongsi aktiviti bagi acara TechXpo.
Tetamu kehormat bergambar ramai bersama rakan-rakan kongsi aktiviti bagi acara TechXpo.

Antara rakan kongsi bagi acara itu nanti ialah Telekom Brunei Berhad (TelBru) selaku rakan telekomunikasi, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) sebagai bank rasmi, Brunei Press Sdn Bhd (media cetak), Oregon Systems (pembekal perkhidmatan CCTV), IBIC Sdn Bhd (pembekal air minuman), RTB (penyiaran televisyen) dan Aewon Garment & Embroidery Sdn Bhd (pembekal pakaian rasmi).

Rakan-rakan kongsi aktiviti pula terdiri daripada B.Darts yang akan menampilkan permainan damak elektrik, JAP’s Hub Cyber Cafe dengan kejohanan permainan video siber, DotRoot Technology dengan permainan 3D dan pameran aplikasi serta Itsybytes dengan permainan VR.

TechXpo 2015 adalah siri kelima ekspo teknologi utama Brunei yang mempamerkan teknologi terkini tempatan dan antarabangsa dengan objektif untuk memberikan kesedaran kepada orang ramai apa itu teknologi dan kewujudan serta tawaran teknologi terbaru eksklusif semasa acara itu.

Pada masa yang sama, acara itu juga menyediakan platform sesuai kepada para pengamal industri teknologi di negara ini, bukan hanya untuk mempamerkan produk-produk tetapi juga bertukar-tukar maklumat pemasaran dan memperkembangkan rangkaian-rangkaian perniagaan.