Meterai perjanjian terbitkan buku ilmiah

Meterai perjanjian terbitkan buku ilmiah

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Mac – Seramai 27 orang penulis buku, hari ini, telah menandatangani perjanjian penerbit-penulis bagi menerbitkan buku melalui Pusat Penyelidikan dan Penerbitan (PPP), UNISSA Press, di bawah memorandum ‘Penerbit-Penulis UNISSA Press 2016’. Majlis berlangsung di Dewan Bankuet, Bangunan Pentadbiran Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), di sini dan disaksikan oleh Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal yang juga salah seorang daripada penulis tersebut.

Perjanjian telah ditandatangani oleh Pengarah Penyelidikan dan Penerbitan UNISSA, Dr Hajah Rose binti Abdullah dan disaksikan oleh timbalannya, Profesor Madya Dr. Jilani Ben Touhami Meftah selaku wakil penerbit.

Sementara itu, penandatanganan para penulis pula disaksikan oleh Pemangku Ketua Perhubungan Awam UNISSA, Haji Mohammad Asnawi bin Haji Yakib.

Antara tajuk-tajuk yang diterbitkan melalui UNISSA Press ialah ‘Melestari Pendidikan Islam di Negara Brunei Darussalam’ tulisan Dr Haji Norarfan; ‘Dasar dan Strategi Pembangunan Negara Zikir’ oleh Dr Siti Sara binti Haji Ahmad, Dr Fadzliwati binti Haji Mohidddin dan Zurairatul Zakiah binti Dato Seri Setia Haji Rajid; serta ‘Poverty and Microfinance in Brunei Darussalam oleh Dr Hajah Rose.

Dr Hajah Rose menandatangani bagi mewakili PPP, UNISSA untuk terbitan buku daripada penulis-penulis.
Dr Hajah Rose menandatangani bagi mewakili PPP, UNISSA untuk terbitan buku daripada penulis-penulis.

Dr Hajah Rose dalam ucapannya berkata, penandatanganan tersebut adalah untuk memberikan penghormatan dan penghargaan kepada penulis-penulis yang menyumbangkan hasil tulisan mereka.

“Dalam masa yang sama, UNISSA ingin menarik perhatian bakal-bakal penulis untuk terus menghasilkan manuskrip ilmiah mereka untuk diterbitkan oleh UNISSA Press. Pihak PPP sentiasa bersikap terbuka dalam menerima teguran dan maklum balas yang diguna pakai dalam usaha untuk memperbaiki dan meningkatkan mutu perkhidmatan penerbitan.

“PPP akan meneruskan usaha-usaha untuk menggalakkan penulis-penulis menghantar manuskrip PPP untuk diterbitkan bukan saja daripada kakitangan akademik UNISSA malah juga akan dibukakan kepada penulis-penulis dari luar UNISSA,” ujar beliau.

Menurutnya lagi, perjanjian yang ditandatangani itu memberikan penekanan terhadap beberapa perkara penting iaitu bahan/manuskrip yang diterbitkan adalah asli milik penulis dan tidak diberikan oleh penerbit lain atau jika pernah diterbitkan maka sudah luput tempoh kontrak penerbitannya.

Selain daripada itu, ia juga memberi galakan dan motivasi kepada staf akademik UNISSA untuk bergiat aktif dalam penyelidikan dan penulisan.

ARTIKEL YANG SAMA