Mexico belasa Cuba

Mexico belasa Cuba

CHICAGO, 10 Julai (AFP) – Mexico bermula garang memburu Piala Emas dengan membenam Cuba 6-0 dalam perlawanan pembukaan di Soldier Field semalam.

Cuba berada dalam persaingan dalam keadaan sukar apabila penyerang Keiler Garcia tidak beraksi selepas mengalami kecederaan, kata laporan berita.

Media AS juga melaporkan enam pemain dan ketua jurulatih, Raul Gonzalez tidak berjaya ke Chicago tepat pada masanya bagi perlawanan itu kerana masalah visa.

Ia meletakkan Cuba dengan hanya 16 pemain untuk menghadapi Mexico, yang memenangi Piala Emas CONCACAF sebanyak enam kali. Dalam perlawanan lain Kumpulan C semalam, Trinidad & Tobago juga bermula menarik dengan kemenangan 3-1 ke atas Guatemala di Chicago.

Oribe Peralta menjaringkan hatrik sementara Giovani dos Santos, Andres Guardado dan Carlos Vela masing–masing menjaringkan gol dalam laluan El Tri yang membuat 18 rembatan tepat berbanding Cuba hanya satu.

Pemain Mexico, Oribe Peralta (19) merembat bola untuk membolosi gawang penjaga gol Cuba Diosvelis Guerra (21) dalam aksi Piala Emas di Soldier Field semalam. – Reuters
Pemain Mexico, Oribe Peralta (19) merembat bola untuk membolosi gawang penjaga gol Cuba Diosvelis Guerra (21) dalam aksi Piala Emas di Soldier Field semalam. – Reuters

Peralta membuka jaringan dengan rembatan kaki kanan dari tengah kotak penalti pada minit ke-17 selepas merampas kawalan hantaran daripada rakan sepasukan Guardado.

Vela menguasai bola lemah yang dikeluarkan oleh pertahanan Cuba lima minit kemudian untuk menukar kedudukan menjadi 2-0 sebelum Peralta menjaringkan gol keduanya dalam perlawanan dengan ledakan ke bawah kiri gawang pada minit ke-37.

Guradado menewaskan pertahanan untuk menanduk masuk satu lagi jaringan dan menjadikan kedudukan 4-0 sebelum separuh masa pertama dan kemudian Peralta melengkapkan hatrik dengan menewaskan penjaga gawang, Disovelis Guerra dan pemain pertahanan untuk menanduk masuk pada separuh masa kedua.

Perlawanan itu adalah aksi ulangan peringkat kumpulan Piala Emas 2011 di mana Mexico menang 5-0.

ARTIKEL YANG SAMA