Mexico julang Piala Emas

Mexico julang Piala Emas

PHILADELPHIA, AS, 27 Julai (AFP) – Andres Guardado muncul pemain pertama meledak gol pada tiga penampilan final Piala Emas CONCACAF ketika Mexico menewaskan Jamaica 3-1 di pentas final, hari ini.

Ia menjadi trofi ketujuh Piala Emas buat Mexico yang menggunakan sepenuhnya dua kesilapan besar Jamaica di bahagian pertahanan dengan gol turut dijaringkan Jesus Corona dan Oribe Peralta.

Selesa tiga gol di depan, Jamaica yang diberi jolokan ‘Reggae Boyz’ memperoleh jaringan sagu hati pada minit ke-80 menerusi pemain gantian, Darren Mattocks.

Dilengkapi dengan jentera serangan yang paling efektif di Piala Emas, Mexico atau dikenali ‘El Tricolores’ berjaya mengkucar-kacirkan pertahanan tanpa bintang Jamaica yang beraksi baik sebelum final dengan hanya melepaskan tiga gol dalam lima perlawanan.

Guardado yang menggalas tugas selaku kapten membuka tirai jaringan pada minit ke-31 dengan tidak mensia-siakan hantaran sempurna Paul Aguilar daripada sayap kanan. Penyerang kelab Belanda, PSV Eindhoven itu menyempurnakan jaringan dengan penuh bergaya menerusi rembatan voley.

Skuad Mexico menjulang Piala Emas CONCACAF selepas menundukkan Jamaica 3-1 di Philadelphia, Pennsylvania semalam. – AFP
Skuad Mexico menjulang Piala Emas CONCACAF selepas menundukkan Jamaica 3-1 di Philadelphia, Pennsylvania semalam. – AFP

Gol terbabit menyaksikan Guardado kini memiliki 10 gol di Piala Emas dan turut meledak ketika kekalahan 2-1 Mexico kepada AS pada 2007 selain gol ketika Mexico mencatat kemenangan 4-2 ke atas lawan sama pada 2011.

Corona memberikan Mexico kelebihan 2-0 pada minit kedua babak kedua bersambung diikuti jaringan Peralta pada minit ke-61 yang menyaksikan penjaga gol Jamaica, Ryan Thompson tewas buat kali ketiga.

Aksi final buat Jamaica begitupun sudah cukup membanggakan apabila muncul negara dari kepulauan Caribbean pertama melangkah ke final Piala Emas COCACAF dengan rekod terbaik sebelum ini di tempat ketiga pada 1993.

ARTIKEL YANG SAMA