Mexico mula guna vaksin denggi

Mexico mula guna vaksin denggi

BANDAR RAYA MEXICO, 13 Dis (Agensi) – Vaksin pertama demam denggi di dunia diluluskan untuk kegunaan di Mexico dengan 40,000 dos awal akan diberikan kepada penduduk di kawasan yang paling terjejas akibat jangkitan virus denggi, lapor agensi berita UPI.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penyakit itu menjadi wabak di lebih 100 negara di seluruh dunia dengan anggaran 390 juta jangkitan pada setiap tahun, manakala 500,000 kes denggi terpaksa dirawat di hospital.

Vaksin itu, Dengvaxia, dijangka memasuki pasaran awal tahun depan di Mexico tetapi harga ubat itu belum diumumkan.

“Denggi semakin menjadi ancaman di Mexico dan banyak negara iklim tropika lain termasuk Amerika Latin dan Asia.

“Dengvaxia merupakan penambahbaikan penting kepada usaha kawalan dan pencegahan demam denggi secara bersepadu,” kata Pengarah bersama kajian klinikal di Institut Pediatrik Kebangsaan Mexico, José Luis Arredondo García dalam satu kenyataan akhbar.

Sejumlah ujian klinikal menunjukkan vaksin itu dapat mengurangkan risiko dijangkiti demam denggi sebanyak 60 peratus tetapi paling kurang berkesan dalam kalangan kanak-kanak bawah umur sembilan tahun.

Berdasarkan faktor tersebut, Mexico akan memberikan vaksin itu kepada penduduk berusia antara 9 hingga 45 tahun.

“Dengvaxia memberi perlindungan terhadap semua empat jenis demam denggi,” kata syarikat pengeluar vaksin itu, Sanofi Pasteur.

Menurut Sanofi, usaha menghasilkan vaksin itu mengambil masa 20 tahun.

ARTIKEL YANG SAMA