Mexico nyaris malu

Mexico nyaris malu

VINA DEL MAR, 14 Jun (AFP) – Jurulatih Mexico, Miguel Herrera berang selepas skuad El Tricolor gagal merobek gawang pasukan kerdil, Bolivia apabila diikat 0-0 dalam aksi sulung Kumpulan A Copa America, semalam.

Herrera amat bernasib baik kerana pasukannya tidak dibolosi, dan keputusan seri itu membolehkan tuan rumah, Chile menerajui Kumpulan A setelah melakar kemenangan 2-0 ke atas Ecuador dalam perlawanan pembukaan, kelmarin.

Pengendali Mexico itu memberi amaran kepada anak-anak buahnya, yang bagaikan hilang arah tanpa beberapa bintang seperti Javier ‘Chicharito’ Hernandez, Carlos Vela dan Giovani dos Santos.

Mereka gagal membolosi gawang lawan yang sekadar menghuni ranking ke-89 dunia.

“Kami sepatutnya mencatat kemenangan dalam perlawanan ini. Sekarang kami tiada pilihan kecuali menewaskan Chile untuk ke peringkat seterusnya.

Pemain Bolivia, Marcelo Martins menanduk bola keluar di depan gawang mereka ketika menentang Mexico dalam aksi Copa America di Vina del Mar semalam. – Reuters
Pemain Bolivia, Marcelo Martins menanduk bola keluar di depan gawang mereka ketika menentang Mexico dalam aksi Copa America di Vina del Mar semalam. – Reuters

“Namun, kami memiliki pemain yang mempunyai kekuatan mental yang mantap dan perjuangan belum berakhir,” kata penjaga gol Mexico, Jose Jesus Corona

Selain tidak gembira dengan prestasi yang ditunjukkan anak-anak buahnya, Herrera juga berang terhadap pengadil dari Paraguay, Enrique Caceres kerana tidak memberikan sepakan penalti kepada pemain paling efektif Mexico, Javier Aquino yang dijatuhkan pada minit ke-79.

Herrera membawa skuad paling lemah dalam Copa America kali ini kerana dia juga sedang mempersiapkan pasukan untuk menghadapi Piala Emas di Amerika Syarikat, bulan depan.

Begitupun, jurulatih menegaskan, Mexico, yang berada di ranking ke-29 dunia berada di Chile untuk mencabar kejuaraan.

Bolivia kelihatan rapuh setiap kali diasak, namun mereka berjaya mengejutkan lawan yang jauh lebih kuat menerusi serangan balas dan turut memiliki tiga peluang terbaik pada babak pertama.

Pada minit ke-14, Ricard Pedriel hampir merobek gawang Mexico selepas menyempurnakan bola hantaran lintang Marti Smedberg-Dalence, namun percubaannya terkena palang gol.

Beberapa minit sebelum tamat separuh masa pertama, Jhasmani Campos melepaskan rembatan kaki kiri yang berjaya ditolak keluar oleh Corona.

Malah pemain pertahanan veteran Bolivia, Ronald Raldes turut mempersiakan peluang keemasan apabila tandukannya tersasar jauh dari gawang.

Mexico bakal berdepan cabaran getir Chile dalam perlawanan kedua Kumpulan A, esok.

ARTIKEL YANG SAMA