Mexico selar pendirian Trump

Mexico selar pendirian Trump

BANDAR MEXICO, 20 Ogos – Kerajaan Mexico semalam menyelar cadangan oleh bakal calon presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk menghantar pulang penghijrah tanpa dokumen dan menyerahkan tanggungjawab kepada Mexico membayar bagi tembok yang memisahkan antara kedua-dua negara, sebagai tidak munasabah, rasis dan jahil.

Ketika melancarkan bidaannya bagi pencalonan presiden Republikan di New York pada Jun, Trump menuduh Mexico menghantar perogok dan keldai dadah ke seluruh sempadan selatan Amerika Syarikat dan berikrar untuk membina tembok untuk mengekang kemasukan penghijrah haram.

Pada hujung minggu lepas pula, Trump berkata beliau akan meningkatkan yuran ke atas sebahagian vas untuk warga Mexico dan semua kad penyeberangan sempadan sebagai sebahagian rancangan meluas untuk memastikan Mexico menanggung bebanan tersebut.

Beliau juga berkata akan menghantar pulang berjuta-juta penghijrah tanpa dokumen yang sah.

“Kami terus dengan pendirian bahawa ulasan ini menggambarkan prejudis, rasis atau suatu kejahilan,” kata Kementerian Luar dalam kenyataan e-melnya.

Gabungan pemimpin masyarakat Amerika Latin mengadakan bantahan menentang dasar calon presiden Republikan Donald Trump, di luar Bangunan Persekutuan di Los Angeles, California pada 19 Ogos 2015. – AFP
Gabungan pemimpin masyarakat Amerika Latin mengadakan bantahan menentang dasar calon presiden Republikan Donald Trump, di luar Bangunan Persekutuan di Los Angeles, California pada 19 Ogos 2015. – AFP

“Sesiapa sahaja yang memahami hubungan akrab AS-Mexico menyedari bahawa cadangan tersebut bukan sahaja prejudis dan tidak munasabah, tetapi juga akan memberi kesan negatif ke atas kesejahteraan kedua-dua masyarakat.”

Menteri Luar Jose Antonio Meade mengutuk kenyataan Trump sebagai prejudis, rasis dan jahil dalam satu temu ramah dengan akhbar San Francisco Chronicle bulan lepas. Para pegawai kerajaan Mexico lain turut mengkritik Trump.

Jurucakap pejabat presiden Mexico berkata semalam beliau tidak mempunyai ulasan berhubung cadangan terbaru oleh Trump. – Reuters

ARTIKEL YANG SAMA