Mexico, Venezuela rebut kedudukan teratas

Mexico, Venezuela rebut kedudukan teratas

HOUSTON, 13 Jun (AP) – Mexico dan Venezuela layak ke suku akhir Copa America Centenario namun pertembungan terakhir peringkat kumpulan antara mereka pagi esok dianggap penentu kepada kempen tahun ini.

Kemenangan atau keputusan seri bagi Mexico akan meletakkan mereka sebagai juara Kumpulan C, manakala kekalahan akan memberikan Venezuela kedudukan teratas itu.

Kedudukan ini cukup penting kerana naib juara kumpulan dijangka akan bertemu Lionel Messi dari pasukan pilihan kejohanan kali ini, Argentina pada peringkat suku akhir. Sementara itu Chile adalah pasukan yang kemungkinan akan menanti juara kumpulan berkenaan.

Bagaimanapun pengendali Mexico, Juan Carlos Osorio menegaskan, mengelak Argentina di suku akhir bukan pendorong utama mereka untuk perlawanan menentang Venezuela nanti.

Pasukan Mexico mengadakan latihan sebelum menentang Venezuela pagi ini. – AFP
Pasukan Mexico mengadakan latihan sebelum menentang Venezuela pagi ini. – AFP

pg22_160613_CopaAmericaLogo

“Kami bersedia untuk perlawanan Venezuela sama seperti kami akan menentang Argentina,” kata Osorio. “Perkara paling bermakna dalam bola sepak ialah dapat bersaing dengan pasukan terbaik.”

Pengendali Venezuela, Rafael Dudamel turut senada dengan rakan sejawatannya itu. “Kami bermain bukan untuk mengelak sesebuah pasukan. Kami sedar kualiti setiap lawan kami,” katanya.

Skuad Mexico belum pernah tewas dalam 21 perlawanan antarabangsa terakhir mereka dan mempunyai rekod sembilan kemenangan berturut-turut sejak Osorio mengambil alih pasukan daripada pengendali sementara, Ricardo Feretti.

Mexico menewaskan Uruguay 3-1 sebelum menundukkan Jamaica 2-0 bagi mengesahkan tiket ke suku akhir.

ARTIKEL YANG SAMA