MGCSB diiktiraf

MGCSB diiktiraf

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 20 Mei – Syarikat Mashhor General Contractor Sdn Bhd (MGCSB) sekali lagi telah mencapai matlamatnya dalam prestasi keselamatan setelah diiktiraf menerima Sijil Anugerah Keselamatan Antarabangsa daripada BSC United Kingdom, baru-baru ini.

Sehubungan itu, majlis menyerahkan sijil tersebut telah diadakan semasa perjumpaan HSSE Korporat di ibu pejabat syarikat berkenaan di sini.

Sijil telah disampaikan oleh Pengurus HSSE, Kumpulan Korporat, Awang Mohd Rizal bin Dr. Haji Abdul Latif kepada Timbalan Pengarah Operasi MGCSB merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MWM, Malai Shamil Faris bin Haji Malai Abdul Hamid.

Turut hadir menyaksikan penyerahan sijil tersebut ialah wakil dari Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP), Ketua HSE dan Pengurusan Data, Awang Adinin Tazim Talip (HSE/3).

Awang Mohd Rizal menyampaikan sijil kepada Malai Shamil Faris.
Awang Mohd Rizal menyampaikan sijil kepada Malai Shamil Faris.

Penganugerahan itu merupakan yang ke-13 dicapai oleh syarikat berkenaan, dan ia membuktikan komitmen mereka terhadap etika kerja yang terus diamalkan dan prinsip keselamatan yang juga terus didedikasikan kepada keseluruhan pegawai dan kakitangan syarikat melalui program-program yang disediakan.

Anugerah Keselamatan Antarabangsa Majlis Keselamatan British diberikan kepada syarikat itu berikutan penilaian ketat dan bebas oleh panel penilai dari United Kingdom.

Sesebuah organisasi yang hendak mendapatkan anugerah tersebut mesti menyediakan bukti bahawa mereka mempunyai polisi kesihatan dan keselamatan yang baik secara menyeluruh, selain membuktikan komitmen dalam perkara berkaitan. Selain itu, mereka juga perlu menunjukkan kecekapan dalam tanggungjawab pengurusan HSE dan mempunyai peningkatan dalam pencapaian HSE setiap tahun.

ARTIKEL YANG SAMA