MGCSB galak kakitangan menderma darah

MGCSB galak kakitangan menderma darah

Oleh Hajah Saemah Kepli

SERIA, 29 Mei – Sebagai usaha memberikan lebih kesedaran dalam kalangan pekerja-pekerjanya akan pentingnya menderma darah, Syarikat Mashhor General Contractor Sdn Bhd (MGCSB) telah mengadakan Kempen Derma Darah yang diadakan di ibu pejabat syarikat tersebut, di sini.

Berlangsung kira-kira tiga jam dari pukul 8 pagi hingga 11:30 pagi, kempen tersebut telah berjaya mengumpulkan sejumlah 48 pain darah.

Hampir 50 orang dalam kalangan kakitangan dan pekerja Syarikat Kumpulan Mashhor telah menyertai kempen yang diadakan bagi kali kelapan berturut-turut itu, sebagai salah satu usaha syarikat dalam membantu masyarakat yang memerlukan.

Turut menyertai kempen ialah Timbalan Pengarah bagi Perhubungan Korporat, Haji Osman bin Haji Omar; Timbalan Pengarah Operasi, Malai Shamil Faris bin Haji Malai Abdul Hamid dan Pengurus HSSE Korporat, Awang Mohd Rizal bin Dr Haji Abdul Latif.

Haji Osman (berdiri dua dari kiri) turut menyertai kempen derma darah MGCSB berkenaan.
Haji Osman (berdiri dua dari kiri) turut menyertai kempen derma darah MGCSB berkenaan.

Kempen tersebut merupakan sebahagian daripada aktiviti untuk sentiasa memberikan kesedaran dan pengetahuan kepada semua, bahawa menyumbangkan darah merupakan perbuatan yang paling mulia dan berpotensi boleh menyelamatkan nyawa, disesuaikan dengan tema kempen tahun ini ‘Bleed for a Cause’.

Ia juga sebagai sebahagian daripada program cara hidup sihat tahunan yang juga bertujuan untuk mempromosikan gaya hidup yang sihat kepada kalangan pekerja-pekerja syarikat.

ARTIKEL YANG SAMA