MGCSB galak pekerja jaga kebersihan

MGCSB galak pekerja jaga kebersihan

Oleh Hajah Saemah Kepli

SERIA, 3 Jun – Lebih 100 orang dalam kalangan pekerja Syarikat Mashhor General Contractor Sendirian Berhad (MGCSB) dan pelatih-pelatih Pusat Latihan Mekanikal (PLM) telah menyertai Kempen Kebersihan bagi kawasan ibu pejabat syarikat tersebut di Jalan Pangsa di sini, kelmarin.

Dengan diketuai Pengurus HSSE Korporat, Awang Mohd Rizal bin Dr Haji Abdul Latif, kempen tersebut antara lain bertujuan untuk menggalakkan pekerja-pekerja syarikat tersebut untuk membiasakan diri dalam penjagaan kebersihan, selain sebagai salah satu usaha syarikat untuk mempromosikan pengasingan sampah serta kesedaran alam sekitar kepada para pekerjanya.

Kerja-kerja pembersihan kawasan itu telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan setiap kumpulan akan berada di zon berbeza di seluruh kawasan persekitaran ibu pejabat syarikat tersebut.

Hasil daripada kerja-kerja mengutip sampah dan sebagainya itu, lebih 600 kilogram sampah telah dikutip dan dikumpulkan sepanjang kempen diadakan.

Sampah-sampah yang dikutip dibahagikan kepada sampah domestik dan sampah kitar semula.
Sampah-sampah yang dikutip dibahagikan kepada sampah domestik dan sampah kitar semula.

Kira-kira 293 kilogram, daripada sejumlah 604 kilogram, adalah sampah domestik, manakala selebihnya merupakan sampah kitar semula seperti kertas, botol plastik dan tin-tin aluminium.

Sampah domestik yang dikumpulkan akan dimusnahkan melalui pengendalian buangan MGCSB, manakala sampah kitar semula pula akan diserahkan kepada Syarikat Kitar Semula Daikyo Environment, di sini.