MGCSB uji pelan tindakan kecemasan

MGCSB uji pelan tindakan kecemasan

Oleh Hajah Saemah Kepli

SERIA, 26 Mei – Percikan api daripada sumber pencucuhan telah mencetuskan kebakaran di tapak pemasangan LRMC sehingga mengakibatkan seorang pekerja jatuh pengsan akibat terhidu asap, merupakan senario pertama dalam Latihan Kecemasan ‘Ops Sihat’ yang dikendalikan oleh Syarikat Mashhor General Contractor Sdn Bhd (MGCSB) di ibu pejabatnya, Jalan Pangsa, di sini.

Latihan tersebut diketuai oleh Penyelaras Krisis Kecemasan/Penasihat HSE merangkap Pengurus HSSE (Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar), Kumpulan Korporat, Awang Mohd Rizal bin Dr. Haji Abd Latif, bersama Ketua Marsyal Kebakaran Ramon F. Rafael dan Komander Di Tempat Kejadian, Haji Mohd Sukri bin Suhaili dan Awang Mohd Roshidi bin Roslan.

Turut hadir menyaksikan latihan ialah Timbalan Pengarah Hal Ehwal Korporat MGCSB, Haji Osman bin Haji Omar serta beberapa pegawai-pegawai dari Syarikat Minyak Brunei Shell Sendirian Berhad (BSP).

Senario kedua latihan tersebut menggambarkan seorang pekerja di kawasan gudang terjatuh dari tangga disebabkan panik setelah mendengar bunyi loceng kecemasan, dengan mangsa dalam keadaan separuh sedar dan mengalami kecederaan serius.

Para pegawai dan kakitangan Syarikat MGCSB serta Syarikat BSP Sdn Bhd bergambar ramai bersama pegawai dan anggota Bomba dan Penyelamat semasa Latihan Kecemasan ‘Ops Sihat’.
Para pegawai dan kakitangan Syarikat MGCSB serta Syarikat BSP Sdn Bhd bergambar ramai bersama pegawai dan anggota Bomba dan Penyelamat semasa Latihan Kecemasan ‘Ops Sihat’.

Ia kemudian diikuti dengan senario ketiga di mana kebakaran berlaku di kawasan dapur MSD akibat peralatan elektrik yang tidak dipantau, seorang pekerja tergelincir dan jatuh, menyebabkan kepalanya terhentak pada dinding dan tidak sedarkan diri, mangsa kemudiannya diselamatkan oleh anggota bomba dan penyelamat serta pegawai paramedik.

Dalam latihan tersebut, pelbagai pihak turut terlibat sama memainkan peranan masing-masing yang terdiri dari Jabatan Bomba dan Penyelamat diselia oleh Penolong Penguasa Bomba, Wan Julaini bin Wan Ibrahim; Komander Stesen Balai Bomba Seria ASFR, Awang Mohd Sofian bin Haji Mohd Yussof; Ketua Pasukan EMAS Awang Mohd Shahrin bin Jumat; dan Pasukan Persatuan Bulan Sabit Merah diketuai oleh Awang Mohammad Nizar bin Minggu. Antara tujuan latihan itu adalah untuk menguji Pelan Tindakan Kecemasan dan memantau kecekapan serta tindak balas Marsyal Kebakaran dan Pasukan Bantuan di kawasan syarikat itu dalam menangani krisis jika berlaku sebarang kejadian kecemasan.

ARTIKEL YANG SAMA