MH370: Malaysia kekal komited bekerjasama bagi analisis flaperon

MH370: Malaysia kekal komited bekerjasama bagi analisis flaperon

PUTRAJAYA, 4 Sept (Bernama) – Malaysia kekal komited menjalin kerjasama dengan rakan antarabangsa dan Pasukan Penyiasatan Keselamatan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) Annex 13 Malaysia untuk MH370 dalam meneruskan analisis mereka ke atas flaperon milik pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370 yang hilang.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, dalam kenyataan hari ini berkata, diharapkan penemuan flaperon itu di Pulau Reunion pada 29 Julai akan dapat memberikan maklumat lanjut untuk mencari kebenarannya.

Kira-kira sebulan lepas, Malaysia mengumumkan flaperon ditemukan di Pulau Reunion adalah daripada MH370 berdasarkan pengesahan dibuat oleh pasukan pakar Malaysia di Toulouse, Perancis susulan butiran teknikal flaperon itu sepadan dengan rekod MAS.

Pihak berkuasa Perancis selepas menjalankan analisis lanjutan juga bersetuju dengan pengumuman Malaysia dan telah mengesahkan dengan pasti bahawa flaperon itu adalah daripada MH370, katanya. Penerbangan MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal dari Kuala Lumpur ke Beijing hilang daripada radar pada 8 Mac, 2014.

Liow berkata kerajaan Malaysia memberikan dedikasi sepenuhnya untuk memenuhi komitmennya dalam operasi mencari pesawat itu dan akan meneruskan semua usaha yang munasabah bagi tujuan itu.

“Kami sekali lagi ingin memberi jaminan kepada keluarga semua penumpang dan anak kapal bahawa usaha mencari MH370 kekal menjadi keutamaan,” katanya.