MH370: Mesyuarat tripartite Jun ini

MH370: Mesyuarat tripartite Jun ini

KUALA LUMPUR, 21 April – Keputusan berhubung operasi pencarian pesawat MH370 akan diputuskan Malaysia, Australia dan China semasa mesyuarat tripartite peringkat menteri yang dijadualkan diadakan akhir Jun ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata keputusan yang akan diambil itu akan mengambil kira nasihat teknikal daripada Pasukan Pakar Satelit.

“Walaupun flaperon yang telah dijumpai di Pulau Le Reunion telah disahkan milik MH370, operasi pencarian akan diteruskan di kawasan pencarian yang sedia ada di Lautan Hindi.

“Ini adalah berdasarkan hasil analisis data yang telah ditentu sahkan oleh pasukan pakar di kawasan seluas 120,000 kilometer (km) persegi sebagai mempunyai kebarangkalian tertinggi mengesan pesawat tersebut,” katanya pada sesi soal jawab di persidangan Dewan Negara di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Megat Zulkarnain Omardin mengenai kedudukan terkini laporan kehilangan MH370.

Sementara itu, ketika ditemui di lobi Parlimen, Abdul Aziz berkata pencarian pesawat hilang itu akan dihentikan di kawasan seluas 120,000km persegi dan setakat ini pencarian telah memasuki 103,000km persegi di selatan Lautan Hindi.

“Kita mempunyai 17,000km persegi lagi untuk pencarian dan dijangka dapat selesaikan pencarian dalam masa dua bulan. Selepas itu, kami (Malaysia, Australia dan China) akan bermesyuarat bersama pakar untuk mendapatkan nasihat sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya.

Abdul Aziz juga mengesahkan dua serpihan yang ditemukan di Mozambique hampir pasti berasal dari MH370, menurut Laporan Pemeriksaan Teknikal yang dikeluarkan oleh Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB).

Katanya, Malaysia juga akan meminta kerjasama Mozambique untuk memaklumkan kepada Malaysia sekiranya terdapat serpihan lain yang dijumpai di negara itu.

Pada Rabu, Menteri Infrastruktur dan Pengangkutan Australia Darren Chester berkata Laporan Pemeriksaan Teknikal ATSB menunjukkan kedua-dua serpihan yang dijumpai di Mozambique adalah daripada sayap pesawat MH370.

Kedua-dua serpihan ditemui berasingan di Mozambique pada Disember tahun lepas dan Februari tahun ini.

Pesawat malang yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang daripada imbasan radar semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac, 2014.

Pada masa ini, usaha mencari dilakukan di selatan Lautan Hindi yang mana laluan penerbangan MH370 dipercayai berakhir. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA