MH370: M’sia hantar pakar ke Pulau Reunion

MH370: M’sia hantar pakar ke Pulau Reunion

PUTRAJAYA, 30 Julai (Bernama) – Malaysia sudah mengirim satu pasukan pakar ke Pulau Reunion di Lautan Hindi untuk memastikan sama ada serpihan pesawat yang ditemui di sana, milik Malaysia Airlines penerbangan MH370.

Kementerian Pengangkutan dalam satu kenyataan hari ini berkata pasukan itu dianggotai pakar daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Malaysia Airlines dan Pasukan Penyiasatan Keselamatan Lampiran 13 Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) Malaysia untuk MH370.

“Kami juga berhubung dengan Biro Siasatan dan Analisis (BEA) iaitu agensi penyiasat kemalangan pesawat udara Perancis mengenai penemuan ini,” tambah kenyataan itu.

Dilaporkan serpihan daripada sayap pesawat itu dihanyutkan ke pulau tersebut awal pagi ini yang berkemungkinan milik MH370 yang hilang bersama 239 penumpang dan anak kapal pada awal Mac tahun lepas.

Kementerian Pengangkutan berkata ia masih terlalu awal untuk membuat sebarang andaian sehingga terdapat bukti sahih serpihan tersebut milik pesawat yang hilang itu.

Pasukan penyiasat dan polis Perancis memeriksa serpihan pesawat yang ditemui di pantai Saint-Andre, Pulau Reunion di Lautan Hindi kelmarin untuk menentukan sama ada ia adalah serpihan MH370 yang hilang tahun lalu. – Reuters
Pasukan penyiasat dan polis Perancis memeriksa serpihan pesawat yang ditemui di pantai Saint-Andre, Pulau Reunion di Lautan Hindi kelmarin untuk menentukan sama ada ia adalah serpihan MH370 yang hilang tahun lalu. – Reuters

Kementerian itu menjelaskan ia akan membuat pengumuman sebaik sa1haja bukti dapat disahkan.

Serpihan bangkai sebuah pesawat yang ditemui di La Reunion Island di Lautan Hindi awal hari ini (waktu Malaysia) kini sedang disiasat para pakar, kata Pusat Penyelarasan Agensi Bersama Australia (JACC).

Agensi itu berkata Malaysia bertanggungjawab ke atas siasatan dan sedang menguruskannya dengan bantuan Boeing, BEA (Bureau d’Enquêtes et d’Analisis pour la Sécurité de l’Aviation civile), PBiro Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Amerika Syarikat dan Biro Keselamatan Pengangkutan Australia.

“Sekiranya bangkai tersebut dikenal pasti sebagai daripada MH 370 di La Reunion Island, ia menjadi konsisten dengan analisis lain dan menjadi model bahawa tempat pesawat itu bersemadi adalah di selatan Lautan Hindi,” kata JACC dalam satu kenyataan, awal pagi (waktu Malaysia), hari ini.

Agensi yang menyelia operasi mencari pada ketika ini di selatan Lautan Hindi berkata sebarang bukti baharu yang ditemui akan digunakan untuk terus memaklumkan dan memperbaiki usaha pencarian yang sedang berjalan.

Beberapa imej serpihan bangkai dipercayai daripada sirip Boeing 777 tersebar dalam pelbagai media sosial, memberi harapan baharu mengesan pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370 yang hilang itu.

Serpihan bangkai itu dilaporkan ditemui di La Reunion Island, di bawah pentadbiran Perancis, berhampiran Madagascar.

Penerbangan MH370 hilang daripada radar pada 8 Mac tahun lalu ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal.

Pada 29 Jan tahun ini, DCA mengumumkan kehilangan pesawat itu sebagai kemalangan mengikut peraturan penerbangan antarabangsa, dan semua 239 orang di dalamnya dianggap terkorban.

ARTIKEL YANG SAMA