MH370: Pengesahan mengenai ‘Flaperon’ dalam sehari dua lagi

MH370: Pengesahan mengenai ‘Flaperon’ dalam sehari dua lagi

PUTRAJAYA, 31 Julai (Bernama) – Pasukan Malaysia akan dapat membuat pengesahan dalam masa “satu atau dua hari lagi” sama ada ‘flaperon’ yang ditemui di Pulau Reunion di Lautan Hindi adalah sebahagian daripada Pesawat MH370 Malaysia Airlines yang hilang, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi.

Beliau berkata serpihan sepanjang dua meter yang dijumpai di pulau tersebut diterbangkan ke Toulouse, Perancis dan dijangka tiba hari ini.

“Ia adalah satu bahagian kecil dan mereka akan dapat mengenal pastinya dengan mudah. Saya dimaklumkan bahawa mereka menjumpai nombor bahagian (yang diterap pada pelbagai bahagian komponen),” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri kementerian itu di sini hari ini.

Abdul Aziz berkata Kementerian Pengangkutan telah menghantar satu pasukan empat anggota, diketuai Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman ke Toulouse untuk membuat pengesahan itu.

Katanya pasukan itu akan bekerjasama dengan Bureau d’Enquêtes et d’Analyses (BEA), agensi penyiasatan penerbangan Perancis, untuk membuat pengesahan tentang objek itu.

Mengenai laporan bahawa pihak berkuasa pencarian Australia “semakin yakin” bahawa serpihan itu adalah daripada MH370, Abdul Aziz berkata: “Kami perlu menunggu pengesahan oleh pasukan kami di Toulouse.”

Penerbangan MH370, Boeing 777, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada pengesanan radar pada 8 Mac tahun lepas kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL menuju ke Beijing.

Pada 29 Januari tahun ini, DCA mengumumkan bahawa kehilangan pesawat itu adalah suatu kemalangan mengikut peraturan penerbangan antarabangsa dan kesemua 239 orang yang dibawanya dianggap meninggal dunia.