Mi segera berplumbum, India fail kes ke atas Nestle

Mi segera berplumbum, India fail kes ke atas Nestle

NEW DELHI, 31 Mei (AFP) – Pihak berkuasa di negeri utara India telah memfailkan kes jenayah ke atas Nestle India selepas menemui paras plumbum berbahaya dalam sekelompok mi Maggi, menurut pegawai hari ini.

Pentadbiran Keselamatan Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) di negeri utara Uttar Predesh telah mengatakan paras plumbum tinggi telah ditemui semasa ujian rutin dalam berpuluh paket mi segera, bersama dengan penyedap rasa MSG, pada Mac.

FDA pada awal bulan ini mengarahkan syarikat itu untuk menarik balik kelompok berkenaan dari kedai di negeri tersebut. Vijay Bahadur, timbalan pesuruhjaya keselamatan makanan negeri itu, mengatakan kes itu telah dilaporkan semalam di mahkamah majistret tempatan ke atas Nestle India kerana menggunakan pembungkusan mengelirukan dan mengilang produk yang berpotensi memudaratkan.

“Kami telah memfailkan kes ke atas Nestle India dan pemilik gedung bagi pengilangan dan menjual produk membahayakan,” ujar Bahadur kepada AFP.

Menurutnya syarikat itu berdepan denda dan para pegawainya akan dihukum penjara jika mahkamah menemui mereka bersalah mencabul Akta Standard dan Keselamatan Makanan Kebangsaan.

Para pegawai Nestle India, subsidiari Nestle berpangkalan di Switzerland, telah diminta untuk hadir di mahkamah pada 1 Julai, katanya.

Nestle India, yang menjual beberapa produk di India termasuk mi segera dua minit, telah menafikan penemuan FDA dan telah menjalankan ujiannya sendiri mengenai kelompok berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA