Mi Sup Daging Chap kini di Brunei

Mi Sup Daging Chap kini di Brunei

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Julai – Resipi Mi Sup Daging Chap (Campur) Johnny Yong Keh Yin yang menjadi pilihan orang ramai di Kota Kinabalu, Sabah, Kuala Lumpur dan Miri, turut mendapat sambutan daripada pengunjung Brunei kini boleh dinikmati di negara ini apabila ia menjadi salah satu hidangan pilihan di Bristodel Cafe.

Pengasas resipi hidangan tersebut, Johnny Yong Keh Yin semasa ditemui di Bristodel Cafe, Batu Satu, hari ini, berkata hidangan Mi Sup Daging Chap itu akan menjadi salah satu menu santapan pengunjung di kafe berkenaan.

Menceritakan mengenai mi sup kampung itu, beliau menjelaskan ia telah dihasilkan pada tahun 2004 dan sejak itu sambutan terhadap hidangan berkenaan sangat menggalakkan dengan lebih 500 mangkuk berjaya dijual dalam masa sehari.

Menurut beliau, kemahiran dan minat memasak diperolehi semasa beliau bekerja sambilan di kedai membuat sup di Kota Kinabalu pada usia yang muda dan daripada pengalaman tersebut, beliau cuba membuatnya dan mengolah resipi baru yang mana ia telah mendapat tempat di hati orang ramai.

Salah seorang rakan media merasai Mi sup Daging Chap pilihannya.
Salah seorang rakan media merasai Mi sup Daging Chap pilihannya.
Johnny Yong Keh Yin menampilkan Mi Sup Daging Chap.
Johnny Yong Keh Yin menampilkan Mi Sup Daging Chap.

Ketika mengulas lanjut mengenai keistimewaan mi sup kampung ini dengan mi sup yang lain, beliau berkata, di samping menggunakan resipi tersendiri, kelazatan rasa dan kelembutan daging adalah daripada daging dan tulang yang direbus dalam tempoh yang agak lama untuk memberi peluang kepada bahan-bahan tersebut meresap ke dalam daging dan tulang tersebut.

“Keunikan Mi Sup Daging Campur ini mengandungi gabungan daripada isi daging, bebola daging, kepingan daging dan daging usus,” tambahnya.

Orang ramai yang pernah menikmati hidangan Mi Sup Daging yang terkenal di Kota Kinabalu ini, kini tidak perlu ke luar negara lagi untuk menikmatinya kerana ia boleh didapati di Bristodel Cafe.

ARTIKEL YANG SAMA