Miami Grill bakal miliki outlet di Asia

Miami Grill bakal miliki outlet di Asia

KUALA LUMPUR, 3 Mei (Bernama) – Susulan kejayaan memperoleh lesen francais Miami Grill, restoran terkenal yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Hani Maju Sdn Bhd berhasrat memperkukuh kedudukannya di Asia Tenggara.

Pengarah Operasi dan Sumber Manusianya Izatsham Othman berkata buat masa ini mereka menumpukan usaha meneroka pasaran Lembah Klang selain mengintai peluang membuka cawangan di lokasi bersesuaian.

“Bagaimanapun, kami terbuka kepada usul daripada mana-mana pihak yang berminat untuk memperluas rantaian perniagaan,” katanya kepada Bernama di sini.

Menurutnya setakat ini ada permintaan dari Singapura untuk membuka restoran itu di sana.

Restoran yang terletak di kompleks beli-belah Sunway Pyramid, Petaling Jaya itu merupakan yang pertama dibuka di negara ini dan turut memperoleh persijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Mengimbas sejarah pembabitan mereka dalam rangkaian restoran berkenaan, Izatsham berkata usaha mereka pada 2013 itu kena pada masanya kerana syarikat terbabit sedang meneliti untuk meneroka pasaran Asia.

“Rakan kongsi AS kami sedang mengintai peluang untuk mengembangkan perniagaan mereka di peringkat global dan mereka telah menemui beberapa pihak di Timur Tengah untuk tujuan itu, dan sekarang giliran kami menawarkan keistimewaan masakan restoran tersebut, di pasaran Asia,” katanya.

Beliau berkata restoran itu yang telah menjalani proses penjenamaan semula turut menerima rakan kongsi ekuiti baharu iaitu Armando Christian Perez yang lebih dikenali sebagai Pitbull, sebagai sebahagian transformasi jenama.

Pada masa ini terdapat hampir 300 restoran Miami Grill di seluruh dunia dengan lebih 80 outlet di AS manakala bakinya termasuk di Timur Tengah dan Australia.