Michael Jordan kalah saman tanda dagang di China

Michael Jordan kalah saman tanda dagang di China

BEIJING, 30 Julai (AFP) – Mahkamah Beijing, China menolak kes tanda dagangan membabitkan bintang bola keranjang Amerika Syarikat (AS), Michael Jordan terhadap sebuah syarikat yang menggunakan nama dan logo yang sama seperti digunakannya bersama jenama Nike, kata laporan.

Bekas pemain kelab Chicago Bull itu dianggap antara pemain bola keranjang antarabangsa paling terkenal di China dan dikenali sebagai “Qiaodan”, dalam versi China.

Jordan sebelum ini pernah meminta pihak berkuasa China untuk membatalkan tanda dagangan syarikat Qiaodan Sports Co pada 2012 dan menuduh syarikat pembuat produk sukan itu memperdaya pengguna kerana ia dikaitkan dengan namanya.

Selain nama juara enam kali NBA itu, produk yang dikeluarkan Qiaodan turut menggunakan logo bayangan seperti pemain bola keranjang sedang melompat ‘Jumpman’ seperti yang digunakan gergasi produk sukan AS, Nike untuk mempromosi produk Air Jordan.

Pihak berkuasa enggan melayan permintaan Jordan dengan mahkamah rendah di Beijing turut melakukan perkara yang sama. Dia kemudian memfailkan rayuan kepada Mahkamah Tinggi Rakyat Beijing, yang akhirnya turut tidak memihaknya, lapor portal berita China, Sohu.

Kasut jenama Qiaodan yang dirakamkan di sebuah premis di Beijing semalam. – AFP
Kasut jenama Qiaodan yang dirakamkan di sebuah premis di Beijing semalam. – AFP

“Jordan bukan satu-satunya rujukan untuk tanda dagangan ‘Qiaodan’ yang dipertikaikan,” menurut transkrip keputusan mahkamah yang dikeluarkan.

“Sebagai tambahan, ‘Jordan’ adalah nama keluarga yang biasa digunakan oleh rakyat AS,” kata laporan itu, semalam sambil mengatakan logo berbentuk manusia yang digunakan tidak mempunyai ciri-ciri wajah, jadi ‘sukar’ untuk pengguna mengenal pastinya sebagai Jordan.

Sebagai kesimpulan, tiada bukti yang cukup untuk mengatakan tanda niaga digunakan boleh dikaitkan dengan Jordan yang bersara daripada bola keranjang pada 2003.

China sebelum ini sentiasa dikritik oleh rakan dagangannya mengenai isu pemalsuan produk dan perlindungan yang longgar bagi hak harta intelek.

Qiaodan Sports Co yang berpusat di wilayah timur Fujian, tidak dapat dihubungi untuk memberikan komen.