Mickelson dahului Terbuka British

Mickelson dahului Terbuka British

TROON, United Kingdom, 15 Julai – Phil Mickelson menyamai catatan terendah dalam pusingan di kejohanan utama apabila memulakan saingan golf Terbuka Britain dengan catatan 63 di Royal Troon, di sini, bagi meletakkan dirinya sebagai pendahulu dalam pusingan pertama.

Juara Terbuka British 2013 itu hanya dibezakan beberapa inci daripada menjadi pemain pertama yang melakukan 62 dalam kejohanan major apabila birdie putt yang dilakukannya tidak memasuki lubang terakhir, menyebabkan dia terpaksa berpuas hati dengan lapan bawah par.

Ia bagaimanapun muncul pemain kesembilan yang mencatat 63 pada Terbuka British dan pertama sejak Rory McIlroy melakukannya pada 2010 di St Andrews yang juga par 72.

Usaha pemain kidal itu juga adalah rekod baru dalam lapangan 71 par itu, menewaskan catatan terbaik 64 yang dilakukan Greg Norman pada 1989 dan Tiger Woods pada 1997.

“Ia adalah salah satu daripada pusingan terbaik yang pernah saya bermain dan meskipun begitu saya rasa mahu mengalirkan air mata sekarang,” kata pemain Amerika Syarikat berumur 46 tahun itu.

Mickelson ketika membuat pukulan tee ketika pusingan kedua Kejohanan Golf Terbuka British di Kelab Golf Royal Troon di Troon, Scotland, semalam. – AP
Mickelson ketika membuat pukulan tee ketika pusingan kedua Kejohanan Golf Terbuka British di Kelab Golf Royal Troon di Troon, Scotland, semalam. – AP

“Untuk meluahkannya pula, ia seperti disengat sebentar.”

Pemain itu boleh bertenang selepas tamatnya pusingan pertama selepas mendahului dengan tiga pukulan di depan cabaran terdekatnya, Patrick Reed dan Martin Kaymer.

Di lapangan yang menyaksikan enam pemenang terdahulu berasal dari Amerika Syarikat, yang terbaru sekali Todd Hamilton pada 2004.

Mickelson kini pastinya memenuhi sasaran terhadapnya dalam pusingan kedua, apabila keadaan lebih sukar dengan jangkaan hujan dan berangin. – AFP