Micronet juara COP

Micronet juara COP

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 April – Kumpulan dari Kolej Antarabangsa Micronet (MIC) muncul juara dalam Pertandingan Cabaran Program Pendekatan Masyarakat (COP) yang julung-julung kalinya diadakan di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam (UBD), hari ini.

Manakala itu, Kumpulan Kolej Perniagaan Laksamana menduduki tempat kedua dan tempat ketiga disandang oleh Kumpulan Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah (Maktab Duli).

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyempurnakan hadiah kepada para pemenang ialah Dekan Pelajar UBD, Awang Saidai bin Haji Hitam.

Beliau dalam ucapannya menjelaskan bahawa pertandingan berkenaan merupakan anjuran pelajar-pelajar Tahun 3 Sekolah Perniagaan dan Ekonomi UBD (UBD SE) dengan sokongan pelajar latihan dari Universiti Teknologi Brunei (UTB) dan Syarikat Amanah Haji Abdullah serta dengan kerjasama Pusat Inovasi e-Kerajaan (eG.InC) dan Brunei Geek Meet.

Program ini, jelasnya, memberikan tumpuan kepada mewujudkan kesedaran dan tanggungjawab daripada masyarakat khususnya belia masa kini dalam menyumbang semula kepada masyarakat.

Tetamu kehormat majlis semasa membuat lawatan ke petak pameran peserta NGO.
Tetamu kehormat majlis semasa membuat lawatan ke petak pameran peserta NGO.
Antara peserta yang menyertai pertandingan itu.
Antara peserta yang menyertai pertandingan itu.

Ia menggalakkan pelajar untuk memahami inisiatif dan usaha-usaha yang dilakukan serta juga masalah yang dihadapi oleh badan-badan bukan kerajaan (NGO).

Menurut beliau lagi, sebagai sebahagian daripada program ini, pertandingan cabaran turut diadakan di mana peserta mencadangkan dan membantu menangani masalah-masalah yang dihadapi oleh NGO pada masa kini dengan memberikan penyelesaian dan idea-idea teknologi.

Program ini, tambahnya lagi, akan dijadikan sebagai platform untuk mewujudkan perpaduan antara belia, masyarakat dan NGO.

Pertandingan telah disertai oleh hampir 80 orang peserta daripada 10 buah kumpulan yang terdiri daripada kumpulan Kolej Perniagaan Laksamana, UTB, UBD, Kolej Perdagangan dan Teknologi Cosmopolitan, Pusat Tingkatan Enam Sengkurong, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Sekolah Vokasional Wasan, MIC dan Maktab Duli.

Manakala itu, lima buah badan bukan kerajaan pula telah menyertai program ini iaitu Sukarelawan Tutong (SUKA), Persatuan Kanak-kanak Cacat (KACA), Persatuan Orang Kurang Pendengaran (OKP), Majlis AIDS Brunei (BDAC) dan Care & Action for Strays (CAS).

Program COP dan pertandingan cabaran ini bertujuan untuk mempamerkan dan meningkatkan lagi kesedaran orang ramai terhadap badan-badan bukan kerajaan dan kelab-kelab amal yang ada di negara ini di samping berkongsi pengetahuan bersama orang ramai mengenai dengan NGO.

Selain itu, ia turut memberikan peluang kepada orang ramai dan para belia untuk bekerjasama dan meningkatkan rangkaian mereka dalam memberikan bantuan kepada pihak NGO dan kelab-kelab amal serta menunjukkan kreativiti para peserta dalam cabaran yang diadakan.

ARTIKEL YANG SAMA