MIDA gesa syarikat Sabah mohon geran DISF

MIDA gesa syarikat Sabah mohon geran DISF

KOTA KINABALU, 9 Dis – Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menggesa syarikat di negeri ini memohon geran di bawah Dana Strategik Pelaburan Domestik (DISF).

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Phang Ah Tong, berkata setakat ini, tiada syarikat dari Sabah menerima sebarang geran daripada DISF.

“Saya menggesa kepada mereka supaya memohon geran itu yang dapat membantu syarikat menjadi lebih aktif dalam rantaian nilai global dan meningkatkan mereka,” katanya dalam ucapannya pada Seminar Mengenai Peluang Pelaburan di Sabah di sini hari ini.

Seminar anjuran MIDA itu dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah, Datuk Seri Raymond Tan Shu Kiah.

Phang berkata kerajaan persekutuan baru-baru ini mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion untuk DISF bagi membantu MIDA memacu peralihan syarikat domestik kepada perusahaan berasaskan inovasi dan pengetahuan, berteknologi tinggi dan nilai tambah yang tinggi. – Bernama

Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah Datuk Seri Panglima Raymond Tan Shu Kiah (kanan) bersama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA  Datuk Phang Ah Tong (kiri) mengadakan sidang akhbar selepas merasmikan Seminar On Investment Opportunities In Sabah yang dianjurkan oleh MIDA semalam. – Bernama