MIDA lulus pelaburan tenaga

MIDA lulus pelaburan tenaga

KUALA LUMPUR, 29 Nov – Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) meluluskan pelaburan berjumlah RM2.07 bilion untuk projek tenaga boleh diperbaharui (RE) antara Januari hingga Ogos tahun ini.

Jumlah itu melepasi pelaburan RM1.37 bilion yang diluluskan sepanjang 2015.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif ll, Datuk N Rajendran berkata, pada 2014 pelaburan RM1.2 bilion telah diluluskan untuk projek yang sama.

“Syarikat Jerman bukan sahaja terus melabur di Malaysia, tetapi lebih pen-ting, dalam projek berkualiti di samping menggunakan teknologi terkini dan aktiviti tambah nilai tinggi,” katanya pada sidang akhbar Simposium RE Pengagihan Penjanaan Tenaga di sini hari ini.

Simposium sehari itu yang mengumpulkan penggiat industri berkaitan RE Malaysia dan Jerman, dianjurkan Dewan Perniagaan dan Industri Malaysia-Jerman.

Pengarah Eksekutifnya, Daniel Bernbeck berkata, syarikat RE Jerman berminat mewujudkan usaha sama de-ngan syarikat Malaysia untuk projek pengagihan penjanaan tenaga, terutama dalam tenaga solar, sistem hibrid dan mini hidro di luar bandar Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, peluang untuk projek seumpama itu adalah besar berikutan kekurangan akses untuk orang ramai kepada bekalan elektrik berterusan dan perlu bergantung kepada generator diesel di samping alternatif lain seperti RE.

“Terdapat permintaan daripada industri itu untuk membekalkan elektrik ke kawasan luar bandar yang tidak mempunyai grid kerana kami tidak menjangka sambungan kepadanya dalam tempoh lima tahun akan datang,” tambah beliau.

Rajendran menggesa syarikat Malaysia merebut peluang bagi mendedahkan keupayaan dalam mendapatkan pelaburan daripada projek berpotensi RE.

“Kami menggesa syarikat Malaysia untuk bersama MIDA dan MGCC bagi meneroka ruang RE dan membentuk kerjasama dengan syarikat Jerman,” katanya.

Menurutnya, inisiatif ini juga akan membantu MIDA mencapai sasaran 11 peratus sumbangan RE kepada campuran tenaga menjelang 2020, berbanding 0.69 peratus ketika ini.

Turut hadir pada simposium hari ini ialah Duta Jerman ke Malaysia, Holger Michael. Di kalangan negara Kesatuan Eropah, Jerman adalah pelabur terbesar Malaysia. Pada 2015, perdagangan dua hala Malaysia-Jerman berjumlah RM43.3 bilion.

Setakat Ogos tahun ini, MIDA meluluskan 562 projek pembuatan dengan pembabitan Jerman dan melibatkan pelaburan RM41.02 bilion dengan lebih 66,430 pekerjaan diwujudkan. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA