MIDA yakini hiliran industri minyak, gas

MIDA yakini hiliran industri minyak, gas

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) – Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) terus yakin dengan potensi pertumbuhan aktiviti hiliran industri minyak dan gas, berdasarkan permohonan yang diterima untuk projek sedemikian yang bernilai RM13.6 bilion pada suku pertama tahun ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk N. Rajendran berkata ini termasuk permohonan projek dari Jepun dan China.

“Kami menjangka trend dalam sektor hiliran terus positif pada tahun ini, terutamanya dipacu oleh Kompleks Bersepadu Pengerang Petronas,” katanya pada sidang media pada hari ketiga Persidangan Teknologi Luar Pesisir (OTC) Asia 2016 di sini hari ini.

Rajendran berkata produk daripada kompleks tersebut perlu dilaksanakan oleh syarikat lain berikutan ia akan menjana lebih banyak aktiviti dalam sektor hiliran.

MIDA kini bekerjasama dengan Petronas untuk mengenal pasti syarikat yang dapat menyerap produk-produk ini, katanya.

Pada 2015, MIDA meluluskan 69 projek berkaitan minyak dan gas, bernilai RM27.9 bilion, mewujudkan 4,890 potensi pekerjaan.

Bagi melengkapi pelaburan projek yang berpotensi, katanya peserta domestik perlu mengukuhkan keupayaan mereka, terutamanya dalam pengambilalihan teknologi dan mematuhi pensijilan dan standard antarabangsa.

“Kami percaya ekosistem yang komprehensif dan kukuh menjadi tarikan kepada pelabur. Daya tahan dan kejayaan jangka panjang industri bergantung kepada teknologi baharu dan maju serta perkhidmatan sokongan yang kompetitif.

“Peserta tempatan mungkin perlu meningkatkan rantaian nilai dengan segera untuk menjadi peserta yang lebih teguh, di dalam dan luar negara, yang terdapat peluang yang banyak,” katanya.

Rajendran turut menggalakkan pengeluar sedia ada untuk meningkatkan portfolio produk mereka di Malaysia melalui penyelidikan dan pembangunan, serta mempelbagaikannya kepada produk petrokimia hijau seperti cecair penggerudian mesra alam, bio-pelincir dan etoksilat,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA