MIER jangka pertumbuhan KDNK 4.7 peratus pada 2016

MIER jangka pertumbuhan KDNK 4.7 peratus pada 2016

KUALA LUMPUR, 27 Jan – Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia sebanyak 4.7 peratus pada 2016, berbanding anggaran 4.9 peratus bagi 2015.

Pengarah Eksekutifnya Dr Zakariah Abdul Rashid berkata ekonomi negara dijangka terus didorong permintaan domestik dengan asas kekal kukuh, tetapi isu kestabilan perlu ditangani.

“Keadaan ekonomi kita amat terjejas oleh isu kestabilan jangka pendek berkaitan keyakinan dan sentimen dalam ekonomi, tetapi struktur jangka panjang kekal mapan,” katanya kepada pemberita pada taklimat mengenai prospek ekonomi Malaysia bagi suku keempat 2015 (S4 2015).

Isu-isu kestabilan termasuklah kelemahan asas makroekonomi domestik seperti penurunan lebihan akaun semasa bersih daripada imbangan pembayaran, aliran keluar portfolio bersih yang berterusan, penurunan nilai ringgit dan keadaan mudah tunai domestik yang terhad, katanya.

Beliau berkata Malaysia bergelut dengan keadaan ekonomi tidak menentu tahun lepas susulan kejutan komoditi-mata wang global yang tidak dijangka, kemelut kewangan, perdagangan global yang lemah dan perubahan arah mendadak aliran modal.

Pengeluar Malaysia berhati-hati dengan aktiviti pembuatan dengan prestasi buruk kebanyakan industri pada S4 2015 adalah disebabkan oleh tempahan tempatan yang perlahan dan penurunan tempahan luar, dan ini dijangka berterusan dalam suku pertama tahun ini, kata Zakariah.

Keyakinan pengguna mencecah paras rendah dalam S4 2015 dengan indeks sentimen pengguna berada pada 63.8 mata, turun 19.2 mata tahun ke tahun, katanya, sambil menambah isi rumah malahan lebih negatif dalam prospek pekerjaan dan kewangan mereka pada 2016. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA