Mignolet bersama Reds sehingga 2021

Mignolet bersama Reds sehingga 2021

LONDON, 19 Jan – Penjaga gawang Liverpool Simon Mignolet memperbaharui kontraknya yang menyaksikan dia kekal bersama skuad Reds sehingga 2021.

Pemain dari Belgium itu yang akan mewakili skuad kebangsaan pada aksi Euro 2016 musim panas ini menyertai Liverpool pada 2013 dan melakukan 122 penampilan.

Persembahan beliau dikritik terutamanya selepas melakukan kesilapan ketika Liverpool terikat 2-2 dengan West Brom pada Disember lalu.

Namun pengurus Jurgen Klopp masih menaruh kepercayaan terhadap Mignolet dengan menganugerahkan kontrak baharu kepadanya.

“Saya amat berbangga kerana masih boleh berada di Anfield dan menjadi sebahagian daripada Liverpool untuk tempoh lama,” kata penjaga gol berusia 27 tahun itu.

Klopp turut mempertahankan pemainnya itu musim ini selepas prestasi hambar Mignolet termasuk ketika terikat 3-3 dengan Arsenal minggu lalu.

“Saya mahukan penjaga gol yang membantu pasukan, seorang penjaga gol yang berani dan mencuba segala-galanya,” kata Klopp. – AFP