Mihas 2016 catat jualan RM1.14 bilion

Mihas 2016 catat jualan RM1.14 bilion

KUALA LUMPUR, 6 April – Pameran Halal Antarabangsa Malaysia Ke-13 (Mihas 2016) mencatat jumlah jualan RM1.14 bilion, meningkat empat peratus berbanding tahun lepas sebanyak RM1.1 bilion.

Dalam kenyataan hari ini, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) berkata jualan itu dijana daripada dua komponen utama acara itu iaitu Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) dan pameran perdagangan selama empat hari.

Katanya mesyuarat perniagaan bersemuka INSP pada 29 Mac telah menarik 581 pembeli asing daripada 391 syarikat dari 40 negara yang menyertai 4,372 mesyuarat dengan 619 pengeksport Malaysia.

Sektor makanan dan minuman mencatat jualan tertinggi pada INSP dengan RM365.12 juta, iaitu 76.3 peratus daripada jumlah jualan manakala sektor produk bukan makanan yang terdiri daripada penjagaan kesihatan, farmaseutikal dan kosmetik mencatat jualan sebanyak RM108.99 juta (22.8 peratus), menurut Matrade.

“Produk utama yang diperoleh adalah kopi, teh dan koko, makanan ringan, kosmetik, produk kelapa, kuih-muih, coklat dan gula-gula dengan China, United Kingdom, Taiwan, Jepun dan Korea menjadi negara yang menjana jualan tertinggi,” katanya.

Bagi pameran yang diadakan dari 30 Mac hingga 2 April, kluster minuman mencatat jualan tertinggi sebanyak RM132.24 juta, iaitu 21.5 peratus, diikuti produk diproses dan sedia untuk dimakan (RM82.91 juta) serta produk herba dan penjagaan kesihatan (RM75.52 juta), katanya.

Peserta pameran dari Malaysia menjana jualan sebanyak RM552.75 juta diikuti dari Indonesia (RM30.34 juta), Taiwan (RM26.68 juta), Thailand (RM24.10 juta) dan China (RM14.14 juta).

Mihas 2016 berjaya menarik 316 syarikat Malaysia dan 227 firma antarabangsa dari 29 negara dengan China, Thailand, Indonesia, Taiwan dan Afrika Selatan mempunyai jumlah peserta pameran tertinggi.

Pameran itu menerima 22,027 jumlah pengunjung termasuk daripada syarikat tempatan dan antarabangsa, persatuan dan delegasi asing. – Bernama