MIISA terus gegarkan KBVK

MIISA terus gegarkan KBVK

Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Feb – Kejohanan Bolasepak Veteran Kebangsaan (KBVK) DST Kali Ke-7, 2016 baru saja membuka tirainya pada Ahad (14 Februari) lalu dengan Piala Sumbangsih antara juara Piala Presiden, XN FT dengan penyandang Piala FA, M.o.D (Kementerian Pembangunan) yang dimenangi XN FT 4-2.

KBVK DST musim ini disertai 40 buah pasukan termasuk salah sebuah pasukan yang tidak pernah terlepas daripada menyertai kejohanan tahunan anjuran Persatuan Bolasepak Veteran (VFA) sejak dari kali pertama lagi itu iaitu Kelab Bolasepak MIISA United.

Menurut Presiden MIISA United FC, Mohammad Isa bin Haji Marsidi, skuad veterannya kini giat mengadakan latihan dan perlawanan persahabatan sebagai persediaan menghadapi Piala Presiden dan Piala FA KBVK DST Kali Ke-7, 2016.

Dalam temu bual bersama Media Permata itu, beliau melahirkan rasa gembiranya kerana Kelab Bolasepak MIISA United masih lagi berpeluang untuk menyertai Kejohanan Brunei 7’s Antarabangsa dan terus menyokong KBVK DST.

Skuad MIISA United FC untuk KBVK DST Kali Ke-7, 2016.
Skuad MIISA United FC untuk KBVK DST Kali Ke-7, 2016.

Pada tahun ini, MIISA United FC telah pun membuat persediaan dengan mengadakan perlawanan-perlawanan persahabatan dengan kelab-kelab bolasepak veteran yang lain, dedahnya sambil menambah kata bahawa semangat dalam berpasukan sangat dititikberatkan kepada semua pemain.

Beliau kemudiannya mengambil kesempatan untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Awang Shahri bin Haji Hasim yang selama ini menjadi pengurus Pasukan MIISA United FC dan telah banyak memberi sumbangan dari sudut kelengkapan dan keperluan pasukan.

Musim ini, MIISA United FC terundi dalam Kumpulan H bersama PSJD, KB Warriors, AKSE Bersatu dan MOHAIS FC.

Untuk musim baru ini, VFA menyediakan hadiah termasuk wang tunai kepada tiga pasukan terbaik Piala Presiden iaitu $1,500 untuk juara, $1,000 untuk naib juara, dan $750 untuk tempat ketiga, manakala hadiah wang tunai $750 untuk juara dan $500 untuk naib juara Piala FA.

35 buah pasukan lain yang turut menyertai KBVK DST Kali Ke-7, 2016 ini pula masing-masing mengisi 7 kumpulan lain dengan Kumpulan A diisi oleh Riwayat FC, I Team, Media FC, Pondok 12 dan Wasabi FC, manakala Kumpulan B diisi oleh M.o.D., Satria Veteran, Manggis FC, RB Veteran dan Muara Spurs.

Mengisi Kumpulan C ialah BESA FC, B.I.P. FC, Kilugus FC, DST Veteran dan NJP J4F FT, sementara BSRC, Setia Bakti ‘B’, PBDB, Terazza FC dan TJ FT mengisi Kumpulan D.

Kumpulan E pula mengandungi juara bertahan, XN FT, Menengah FC, Al Idrus, CLE‘AS Veteran FC dan KPPKSK, manakala Kumpulan F diisi oleh IKLS Veteran FC, Setia Bakti FC, Stoneville FC, Mangelella FC dan MBS Utd FC.

Sementara Kumpulan G diisi oleh Rimba Star FC, Old Stars, MPK PB Veteran, B.O.B. dan Mix FT.

Piala Presiden akan bermula pada Jumaat, 19 Februari ini dengan tiga perlawanan iaitu I Team lawan Media FC daripada Kumpulan A di Kompleks Sukan Menglait, CLE’AS Veteran FC lawan KPPKSK daripada Kumpulan E di Kompleks Sukan Berakas dan B.I.P. FC lawan Kilugus FC daripada Kumpulan C di Sekolah Menengah Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS).

ARTIKEL YANG SAMA