Mikrocip dipasang pada pesalah jenayah rogol

Mikrocip dipasang pada pesalah jenayah rogol

JAKARTA, 11 Mei (Bernama) – Mikrocip akan dipasang pada pesalah kes rogol apabila keluar daripada penjara bagi memantau pergerakan mereka, menurut Menteri Koordinator Bidang Pembangunan Manusia dan Kebudayaan Indonesia Puan Maharani.

Beliau berkata kerajaan bersetuju untuk melaksanakan hukuman berat itu dalam mesyuarat khas yang dipengerusikan oleh Presiden Joko Widodo hari ini.

Media-media dalam talian tempatan memetik Puan Maharani sebagai berkata, pemasangan alat mikrocip itu adalah sebagai pemantauan terhadap pesalah dan secara langsung masyarakat akan mengetahui bahawa lelaki yang memakai gelang kaki mikrocip itu adalah bekas perogol.

“Dalam mesyuarat khas tadi memutuskan berkaitan dengan perlindungan jenayah seksual terhadap anak, kerajaan akan mengeluarkan Peraturan Pemerintah Pengganti Undang-Undang (Perpu). Perpu adalah menambahkan lagi hukuman penjara maksimum 20 tahun,” katanya.

Peruntukan hukuman terhadap perogol sekarang adalah penjara tidak lebih daripada 10 tahun.

Perpu adalah satu peraturan perundangan yang ditetapkan oleh presiden dan akan dijadikan undang-undang negara selepas ia ditandatangani oleh presiden.

Puan Maharani dipetik berkata, selain pemasangan mikrocip itu, identity pesalah juga akan disiarkan.

Katanya presiden mahu satu bentuk hukuman yang berat terhadap perogol sebagai membuktikan komitmen kerajaan dalam membela nasib kaum wanita terutamanya kanak-kanak yang menjadi mangsa jenayah seksual.

ARTIKEL YANG SAMA