Milan belasah Sampdoria 4-1

Milan belasah Sampdoria 4-1

MILAN, 29 Nov (Reuters) – AC Milan kembali ke laluan kemenangan dengan kejayaan menumpaskan Sampdoria 4-1 di gelanggang sendiri dalam Serie A semalam sementara dua gol lewat memberikan Torino kemenangan 2-0 ke atas Bologna.

Milan melonjak naik ke tempat kelima dengan 23 mata selepas gol pembukaan oleh Giacomo Bonaventura, dua gol oleh M’Baye Niang dan usaha lewat oleh Luiz Adriano sekali gus mengecewakan Sampdoria.

Skuad bimbingan Sinisa Mihajlovic segera membuat serangan dan membuat pendahuluan pada minit ke-16 apabila Bonaventura menyudahkan gerakan menarik selepas menerima hantaran lerek daripada Niang.

Pemain hadapan dari Perancis meledak sepakan penalti yang gagal diselamatkan penjaga gawang Sampdoria Emiliano Viviano pada minit ke-38 selepas Bonaventura dijatuhkan oleh Lorenzo De Silvestri dan mencipta gol keduanya empat minit selepas separuh masa kedua dengan penyudah yang selesa selepas satu kesilapan oleh Viviano.

Pemain gantian Luiz Adriano menambah gol keempat pada minit ke-79 dengan merembat kencang hantaran lintang Cerci ke jaring lawan.

Aksi pemain AC Milan M’baye Niang (19) ketika merembat masuk gol ketiganya di Stadium San Siro, Milan di Itali pada 28 November 2015. – Reuters
Aksi pemain AC Milan M’baye Niang (19) ketika merembat masuk gol ketiganya di Stadium San Siro, Milan di Itali pada 28 November 2015. – Reuters

Eder kemudian menjaringkan gol dari kawasan penalti pada minit ke-87 selepas dia dihalang oleh Andrea Poli tatkala Sampdoria berada di kedudukan ke-13 dengan 16 mata.

“Jika kami bermain sebegini, kami boleh menumpaskan pasukan mana sahaja,” Mihajlovic memberitahu Mediaset Premium. “Objektinya ialah untuk menang semua perlawanan sebelum cuti Krismas.

“Saya penuh yakin bahawa kami mampu bermain lebih baik pada separuh kedua musim, terutama ketika kami berdepan pasukan-pasukan besar di gelanggang sendiri.” Roberto Donadoni, yang menyelia dua kemenangan dan satu seri sejak menggantikan Delio Rossi di Bologna pada akhir Oktober, menyaksikan nasib baiknya terencat ketika menentang pasukan Torino yang tidak mencatatkan kemenangan di temat sendiri sejak 27 September.

Andrea Belotti membuka jaringan pada minit ke-75 apabila dia menguasai hantaran Emiliano Moretti dengan dadanya, menggelecek Domenico Maietta lalu merembat masuk melepasi penjaga gawang Bologna, Antonio Mirante.

Giuseppe Vives memastikan kemenangan pada minit kedua selepas rehat apabila dia mampu membaca tandukan lemah Maietta, menggelecek Mirante lalu merembat bola dari jarak dekat.

Torino kini berada di tempat kelapan dengan 21 mata sementara Bologna kekal di tempat ke-17 dengan 13 mata. Terdapat enam perlawanan hari ini, termasuk kunjungan Juventus ke Palermo, sementara peneraju Inter Milan menentang pasukan di tempat kedua Napoli pada esok.

ARTIKEL YANG SAMA