Milan cabar jurulatih baru

Milan cabar jurulatih baru

Italy Soccer AC Milan Coaching Change

MILAN, 14 April (AFP) – AC Milan mencabar jurulatih baharu, Cristian Brocchi (gambar) untuk memastikan tugas itu kekal miliknya pada penghujung musim ini selepas dilantik sebagai pengganti Sinisa Mihajlovic.

Brocchi yang juga bekas pemain Milan dilantik mengambil alih skuad yang terkenal dengan jolokan nama Rossoneri itu sehingga menghadirkan gelombang protes daripada peminat yang kecewa dengan keputusan pemilik kelab, Silvio Berlusconi memecat jurulatih Mihajlovic dari Serbia.

Juara tujuh kali kejohanan Eropah itu mempamerkan kemerosotan sejak beberapa tahun ini termasuk bergelut untuk layak ke saingan Liga Europa musim depan.

Brocchi menandatangani kontrak enam bulan dan berharap dapat membawa angin baharu untuk memastikan sasaran kelab berada di enam terbaik.

“Mihajlovic sudah lakukan kerja dengan baik dan kami harus mengakuinya. Dia meraih keputusan baik, meletakkan pasukan di final Piala Itali dan berada di tempat keenam dalam liga.

“Tetapi kami semua harap Cristian juga akan jadi jurulatih musim depan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Milan, Adriano Galliani.

Untuk layak secara langsung ke Liga Europa, Milan perlu menduduki tempat kelima dalam Serie A atau meraih tiket dengan menewaskan Juventus pada final Piala Itali, 21 Mei ini.

Jika Brocchi gagal dalam kedua-dua usaha itu, Milan perlu selesai sekurang-kurangnya di tempat keenam, yang akan menjamin slot terakhir Liga Europa kerana Juventus telah pun melayakkan diri ke Liga Juara-Juara. Pemecatan Mihajlovic bagaimanapun telah mencetuskan keributan.

Satu tinjauan di laman web Gazzetta dello Sport mendedahkan 92 peratus daripada 13,000 peminat mengundi menentang keputusan Berlusconi memecat Mihajlovic.