Milan ke separuh akhir Piala Itali

Milan ke separuh akhir Piala Itali

MILAN, 14 Jan (AFP) – AC Milan muncul pasukan pertama mara ke separuh akhir Piala Itali selepas memperoleh kemenangan 2-1 ke atas Carpi di San Siro, di sini, awal pagi ini.

Juara Eropah tujuh kali itu yang melalui waktu sukar pada musim ini, memperoleh dua gol pada babak pertama menerusi Carlos Bacca dan M’baye Niang tetapi gol Matteo Mancosu buat pasukan lawan di awal babak kedua, membuatkan perlawanan lebih menarik hingga ke penamat.

Milan sepatutnya boleh memenangi perlawanan dengan lebih banyak gol tetapi dengan hanya satu gol, menyebabkan mereka mudah diserang.

Pasukan itu terus mendahului di babak pertama, dengan menjaringkan gol pendahuluan di minit ke-14 apabila Bacca menyudahkan gol hasil hantaran pemain Jepun, Keisuke Honda untuk mencatat gol ke-10 pemain itu pada musim ini.

Niang antara penyumbang gol dalam kemenangan AC Milan ke atas Carpi dalam aksi Piala Itali, semalam. – Reuters
Niang antara penyumbang gol dalam kemenangan AC Milan ke atas Carpi dalam aksi Piala Itali, semalam. – Reuters

Slovak Juraj Kucka berpeluang menggandakan gol pada lima minit kemudian tetapi penjaga gol, Zejlko Brkic mempamerkan kehebatannya menyelamatkan bola itu.

Bacca kemudian membantu M’baye Niang untuk menjaringkan gol kedua sejurus sebelum setengah jam perlawanan berlangsung.

Tuan rumah dilihat terus mengawal perlawanan tetapi lima minit selepas memasuki babak kedua, Kevin Lasagna berjaya mengatasi penjaga gol, Christian Abbiati.

Kucka dilihat mampu menambahkan kelebihan Milan tetapi sekali lagi sasarannya tersasar pada minit ke-60 perlawanan.

Milan terus membazirkan peluang untuk menjarakkan mata apabila cubaan Giacomo Bonaventura turut tersasar sementara sepakan Honda turut terkena palang.