Milan tarik n...

Milan tarik nafas lega

MILAN, 14 Feb – Gol lewat daripada Suso membolehkan AC Milan berkongsi mata sekali gus menghidupkan semula peluang untuk merebut slot ke Liga Europa selepas seri 1-1 dengan Lazio, awal pagi tadi.

Lazio, yang bersaing sengit untuk menduduki kelompok tiga terbaik Serie A, dilihat mampu melakar kemenangan kedua berturut-turut selepas membelasah Pescara 6-2 apabila Lucas Biglia menyempurnakan sepakan penalti sebelum tamat separuh masa.

Bagaimanapun barisan Simone Inzaghi dikejutkan dengan jaringan penyamaan Suso lima minit sebelum tamat perlawanan apabila dia merembat cantik melepasi jangkauan Tomas Strakosha.

Keputusan seri itu membolehkan anak buah Vincenzo Montella yang sebelum ini tewas dalam tiga perlawanan berturut-turut sebelum bangkit menewaskan Bologna pada pertengahan minggu, menghidupkan peluang untuk bersaing merebut tempat ke Liga Europa.

Milan kekal di kedudukan ketujuh liga, 19 mata di belakang pendahulu Juventus dan 10 mata di belakang Napoli yang menduduki tempat ketiga, manakala Lazio di tangga ke-enam.

Suso (kiri) meraikan jaringan penyamaan bersama rakan dalam perlawanan Serie A menentang Lazio di Stadium Olimpik Rom, kelmarin. – AP
Suso (kiri) meraikan jaringan penyamaan bersama rakan dalam perlawanan Serie A menentang Lazio di Stadium Olimpik Rom, kelmarin. – AP

“Kami akan cuba melakukan segala yang terdaya untuk layak ke Liga Europa,” kata Suso kepada Mediaset. “Mereka beraksi baik, tetapi kami bangkit pada babak kedua. Mereka hanya mendapat peluang selepas kami menyerang. Tetapi ini adalah mata penting buat kami.”

Lazio di tangga keenam, tiga mata di hadapan walaupun Biancocelesti boleh membuat perbezaan pada separuh pertama yang mula membimbangan penyokong dan pemainnya.

Penjaga gol Federico Marchetti mengalami kecederaan lutut semasa memanaskan badan dan Tomas Strakosha, 21, terpaksa diturunkan. Peluang pertama milik Lazio, tetapi bola yang dikuis Ciro Immobile dari sudut itu tersasar.

Penjaga gol remaja Milan Gianluigi Donnarumma, 17, melakukannya dengan baik untuk menolak keluar separuh voli Biglia dan menyelamatkan bola melantun.

Tandukan Immobile daripada sepakan silang Marco Parolo pula tersasar dan tuntutan penaltinya diabaikan selepas dikasari Gustavo Gomez sebelum merembat selepas dikejar Ignazio Abate.

Donnarumma kemudian menyekat usaha Wesley Hoedt dari jarak dekat dan pada satu keadaan Strakosha dikerah untuk memadamkan rembatan rendah Lucas Ocampos.

Lazio mendahului tepat pada masanya selepas Immobile memenangi sepakan penalti dengan sentuhan hebat yang mendorong Donnarumma bergerak cepat dan gagal membaca arah rembatan Biglia.

Milan pula menggagalkan usaha Felipe Anderson, Sergej Milinkovic-Savic dan Immobile pada babak kedua dan tuan rumah akhirnya berjaya menebus kesilapan mereka.

Pemain Montella mula mencari rentak dan Strakosha terpaksa meregangkan tangan sepenuhnya untuk menepis keluar sepakan percuma Jose Sosa.

Penjaga gol itu cemas pada minit ke-85 apabila Suso menguasai dan mengawal kawasan sebelum melorongkan bola ke sudut jauh untuk mendapatkan perkongsian mata. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA