MILF beri amaran kepada IS

MILF beri amaran kepada IS

KUALA LUMPUR, 7 Mac (AFP) – Kumpulan berani mati IS cuba menubuhkan kubu kuat di selatan Filipina yang dicengkam keganasan, ketua pertubuhan pemberontak terbesar di negara itu memberi amaran hari ini.

Pengerusi Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), Murad Ebrahim berkata kumpulan pelampau IS cuba mengambil kesempatan daripada kekecewaan yang semakin meningkat berhubung kegagalan usaha untuk menamatkan pemberontakan pemisah Islam yang telah berdekad-dekad lamanya di rantau selatan Mindanao.

Proses damai telah dibekukan sejak kongres Filipina pada bulan lalu gagal meluluskan rang undang-undang yang dipersetujui antara kerajaan dan MILF, yang akan mengizinkan autonomi kepada rantau itu.

Murad Ibrahim bercakap semasa sidang akhbar di Kuala Lumpur. – AFP
Murad Ibrahim bercakap semasa sidang akhbar di Kuala Lumpur. – AFP

“Kini setelah tanpa laluan rang undang-undang itu, kami agak bimbang mereka (IS) boleh mengambil kesempatan ke atas keadaan ini kerana sentimen orang ramai di kawasan ini kini sangat kuat. Kekecewaan selepas tanpa laluan undang-undang – mereka boleh mengambi kesempatan atas keadaan ini,” Murad memberitahu para pemberita di Kuala Lumpur.

Lelaki-lelaki bersenjata yang telah berjanji taat setia kepada pejuang berani mati yang menguasai kawasan luas di Iraq dan Syria telah memulakan siri-siri pertempuran maut dengan tentera di selatan Filipina yang bertikai sejak parlimen menyekat usaha damai itu.