Miliki 146 rokok seludup, didenda $40,000

Miliki 146 rokok seludup, didenda $40,000

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Jun – Gara-gara memiliki 146 karton rokok seludup pelbagai jenama, seorang lelaki tempatan, hari ini, didenda $40,000 oleh Mahkamah Majistret di sini.

Ketua Majistret, Muhammad Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Ghauth bin Haji Sabli, 24, dari Kampung Bunut selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.

Ketua Majistret turut memerintahkan tertuduh dikenakan hukuman penjara selama 18 bulan sekiranya gagal menjelaskan denda itu dalam tempoh enam bulan.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Ghauth didakwa memiliki rokok seludup itu dalam keretanya pada 1 Januari 2013, kira-kira jam 9:15 pagi di kawasan Rancangan Perumahan Negara, Kampung Rimba.

Ketika disoal siasat, tertuduh memberitahu dia membeli rokok-rokok itu daripada seorang individu yang dikenalinya melalui rakannya.

Tertuduh juga memberitahu rokok-rokok itu adalah untuk dijual pada harga $10 bagi satu karton.

Dalam bilik mahkamah yang sama, seorang wanita tempatan turut didenda $3,500 atas kesalahan memiliki rokok seludup.

Siti Rasidah binti Sahari, 27, dari Kampung Kulapis didakwa memiliki 10 karton dan lapan paket rokok ketika ditahan di Pos Kawalan Kastam Kuala Lurah pada 18 Jun 2013 sekitar jam 2:35 petang.

Tertuduh memberitahu 10 karton rokok yang ditemui di belakang pembesar suara dalam but kereta adalah untuk dijual pada harga $15 untuk satu karton manakala lapan paket yang ditemui di bawah tempat duduk pemandu adalah untuk suaminya.

Ketua Majistret memberi tempoh enam bulan untuk tertuduh membayar denda atau berdepan empat bulan penjara jika gagal membayar denda itu.

ARTIKEL YANG SAMA