Miliki 30 jenis reptilia

Miliki 30 jenis reptilia

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 9 Sept – Sesetengah orang tentu akan menolak jika diminta untuk memegang buaya, biawak, atau haiwan reptilia lain kerana beranggapan ia menjijikkan, bahkan boleh membahayakan, khususnya ular yang sudah tentu terbayang bahayanya jika terkena patukannya.

Namun, bagi sekumpulan anak muda memelihara reptilia bukan sahaja menjadi minat mereka malah menjadikannya sebagai pendapatan sampingan dengan mengadakan pameran menerusi bazar-bazar atau ekspo di seluruh Negara.

Kumpulan belia seramai 10 orang itu menggelar diri mereka sebagai ‘The Jungle of Reptiles’ yang terdiri daripada seramai enam orang pelajar Peringkat ‘O’ di Sekolah Menengah Chung Ching, Seria dan empat lainnya sudah bekerja.

Menurut mereka, kumpulan berkenaan ditubuhkan sebagai perniagaan kongsi sama kerana minat masing-masing dan pengalaman mereka yang sudah lama berjinak-jinak dengan pemeliharaan reptilia.

Salah seorang daripada mereka, Awang Mohd Nazrul Yazid bin Haji Anwar ketika ditemui hari ini, memberitahu, kumpulan mereka ditubuhkan kira-kira tiga bulan lalu, tetapi mereka sudah mempunyai pengalaman, dan pernah menyertai kumpulan lain, tetapi mulai berpecah kerana mahu menimba pengalaman daripada kumpulan yang baru.

Awang Mohd Nazrul Yazid (dua, kiri) bersama kumpulannya yang digelar ‘The Jungles of Reptiles’.
Awang Mohd Nazrul Yazid (dua, kiri) bersama kumpulannya yang digelar ‘The Jungles of Reptiles’.

Mereka mempunyai lebih 30 jenis reptilia peliharaan, termasuk pelbagai spesies ular, buaya dan lainnya yang didapatkan di dalam negara dan luar negara, dengan haiwan-haiwan berkenaan dipelihara di rumah mereka sendiri.

Menyertai bazar atau ekspo merupakan peluang mereka menampilkan perniagaan kumpulan belia itu yang berusia antara 16 hingga 25 tahun, dan setiap pengunjung yang hendak menyaksikan reptilia peliharaan mereka akan dikenakan bayaran $2 setiap seorang.

Menjelaskan tentang pemeliharaan, Awang Mohd Nazrul Yazid berkata, perbelanjaan mereka agak besar juga kerana ular dan buaya memerlukan makanan seperti ayam dan tikus, dan untuk menjimatkan sedikit perbelanjaan, mereka turut memelihara tikus untuk keperluan makanan reptilia peliharaan mereka.

Menurut beliau, minat untuk memelihara reptilia timbul sejak mula-mula menyaksikan pameran yang diadakan di bazar-bazar, selain mereka juga memang meminati pelbagai spesies reptilia.

Katanya lagi, menjinakkan reptilia yang terkenal sebagai binatang yang buas merupakan satu kepuasan bagi mereka, bagaimanapun mereka juga perlu sentiasa berhati-hati dan terus mendapatkan pengetahuan tentang pemeliharaan reptilia.

Setakat ini, ujar beliau, sambutan daripada orang ramai termasuk kanak-kanak untuk menyaksikan pameran mereka amat menggalakkan.

“Ramai orang salah menilai bahawa reptilia adalah binatang yang buas dan menjijikkan, tetapi sebenarnya binatang itu boleh mengajar kita untuk menjadi seorang yang bertanggungjawab dan berhati-hati,” tambahnya.

Orang ramai yang ingin menyaksikan reptilia peliharaan ‘The Jungle of Reptiles’ bolehlah menemui mereka di Pesta Penjagaan Cantik, yang sedang berlangsung di Maktab Anthony Abell Seria, yang akan berakhir Ahad ini.

ARTIKEL YANG SAMA