Miliki nilai sosiobudaya

Miliki nilai sosiobudaya

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Ogos – Ilmu dan nilai sosiobudaya boleh mengangkat manusia ke tahap kemajuan unggul dalam ekonomi dan politik, namun dalam masa yang sama kemajuan ini mampu merubah nilai kemanusiaan dan mengheret mereka ke arah keruntuhan moral dan gejala sosial yang agak sukar dibendung.

Keruntuhan moral ini termasuklah penyalahgunaan dadah, alkoholisme, seks bebas dan pelbagai lagi jenayah yang menjadi cabaran di tengah-tengah kehidupan bertamadun.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Abdul Wahab bin Juned menekankan perkara itu ketika berucap pada Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil Perkampungan Sivik Mahasiswa-mahasiswi Negara Brunei Darussalam 2015 malam tadi.

Menurutnya lagi, keruntuhan moral dan isu sosial bukan sahaja menghambat golongan yang tidak berpelajaran namun turut membelenggu mereka yang berilmu dan berpelajaran tinggi.

Minda yang berilmu mempunyai keupayaan untuk berfikir secara ‘informed’, rasional dan waras tetapi tegasnya, dalam kehidupan jika menggunakan otak dan ilmu saja tidak terjamin yang kita akan berada dalam keadaan yang selaras dengan keperluan kehidupan orang sekeliling, masyarakat dan negara.

Dato Paduka Haji Abdul Wahab menyampaikan ucapan di majlis itu.
Dato Paduka Haji Abdul Wahab menyampaikan ucapan di majlis itu.

Beliau menyeru agar pelajar menitipkan dalam diri mereka sikap mahu maju dan dalam masa yang sama, memiliki nilai murni sosiobudaya yang perlu ada dalam jiwa mereka untuk kemantapan bangsa dan negara.

Pemikiran dan sikap juga menentukan peribadi, sifat dan watak sama ada kita bertanggungjawab, menyayangi keluarga, tidak terlalu mementingkan diri sendiri, sedia berbakti kepada masyarakat dan negara atau bermacam-macam lagi yang boleh mewarnai keperibadian manusia.

Menurutnya, kita jangan alpa akan kepentingan untuk mengangkat dan menghayati nilai budaya bangsa, identiti bangsa dan negara.

Ini kerana nilai-nilai tersebut yang membezakan norma kehidupan daripada norma kehidupan bangsa lain. Nilai bangsa dan negara yang tersurat dan tersirat dalam Konsep Melayu Islam Beraja telah terbukti dapat menolak gejala dan pengaruh kehidupan yang boleh mengganggu keharmonian, kesejahteraan dan kestabilan kehidupan negara.

“Ajaran Islam yang menjadi amalan cara hidup yang lengkap di negara ini dapat menegakkan keutuhan budaya yang menolak budaya kuning dan gejala keruntuhan moral,” tegasnya.

Pada majlis itu, 40 orang mahasiswa dan mahasiswi yang mengikuti program kali kedua ini menerima sijil mereka dari pada Dato Paduka Haji Abdul Wahab selaku tetamu kehormat majlis.

Antara lain tujuan Perkampungan Sivik yang berlangsung selama enam hari itu adalah untuk memastikan mahasiswa dan mahasiswi negara dapat memahami dan sentiasa peka dengan maklumat terkini termasuk mengenai hal ehwal negara dan kerajaan.

Majlis yang berlangsung di Dewan Auditorium, Bangunan Tambahan Jabatan Penerangan itu diserikan dengan persembahan Tausyeh oleh peserta Perkampungan Sivik tahun ini.

ARTIKEL YANG SAMA