Miliki rokok tanpa permit membawa padah

Miliki rokok tanpa permit membawa padah

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_151028_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Okt – Memiliki rokok tanpa permit pada 2013 mengundang padah kepada seorang wanita Indonesia apabila dijatuhi denda $2,600 oleh Mahkamah Majistret, hari ini, selepas mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Hani Rahayu Suarsono, 35, didakwa memiliki enam karton dan 14 paket rokok pelbagai jenama pada 10 April 2013 kira-kira jam 3:20 petang di rumah yang didiaminya ketika itu, di Kampung Orang Kaya Besar Imas.

Defendan merayu kepada mahkamah untuk membayar secara ansuran memandangkan dia hanya menerima $300 sebulan dan perlu menyara tiga orang anaknya yang masih bersekolah yang berusia antara 9 hingga 12 tahun.

Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid memberi tempoh sehingga 30 September 2016 untuk defendan menjelaskan denda atau berdepan dua bulan penjara jika gagal membayar.

Kertas pertuduhan menyebut, pegawai pencegah kastam membuat pemeriksaan pada rumah defendan dan menemui rokok-rokok itu disimpan dalam almari manakala dua paket lagi diserahkan sendiri oleh defendan.

Defendan mengaku membeli rokok-rokok itu daripada seorang lelaki berbangsa Melayu yang tidak dikenalinya.

Majistret Dewi Norlelawati memerintahkan kesemua rokok yang dirampas itu diserahkan kepada kerajaan.

ARTIKEL YANG SAMA