Miliki rumah di usia muda

Miliki rumah di usia muda

Oleh Rafidah Jumat & Sim Y.H

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Okt – Jerayawara Rumah Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) ke-7 membuka tirainya hari ini di The Mall, Gadong, di mana ia akan berlangsung sehingga 11 Oktober ini.

Perasmian jerayawara selama 10 hari itu telah disempurnakan oleh Pemangku Setiausaha Tetap (Teknikal dan Profesional) di Kementerian Pembangunan, Haji Marzuke bin Haji Mohsin.

Pameran ini mengetengahkan pakej pembiayaan BIBD seperti pembiayaan rumah, pembiayaan pembaikan rumah, pembiayaan pendidikan dan pembiayaan peribadi di samping perkhidmatan-perkhidmatan dan produknya serta pemeriksaan kesihatan kewangan oleh perancang kewangan Islam yang diperakui oleh BIBD.

Pengarah Urusan BIBD, Javed Ahmad semasa berucap pada majlis itu berkata, pameran ini bakal menyediakan penyelesaian sehenti kepada semua orang yang berminat untuk mendapatkan rumah idaman.

BIBD bersama rakan-rakan kongsinya telah membantu membina lebih 2,000 rumah dan sehingga ini mencecah sekitar 13,000 dan jumlahnya meningkat setiap hari.

Javed menyampaikan cenderahati kepada Haji Marzuke.
Javed menyampaikan cenderahati kepada Haji Marzuke.
Haji Marzuke diberikan penerangan dan melihat dengan lebih dekat lagi pameran yang disediakan di Showcase berkenaan.
Haji Marzuke diberikan penerangan dan melihat dengan lebih dekat lagi pameran yang disediakan di Showcase berkenaan.

“Kami di BIBD bukan hanya melihat permintaan dalam pembelian rumah malah juga peningkatan jumlah generasi muda yang membeli rumah sama ada untuk didiami atau pelaburan.

“Ini merupakan petanda yang baik bagi generasi belia kita dan komuniti secara keseluruhannya apabila kita melihat orang ramai mula mengambil tanggungjawab untuk meningkatkan kehidupan mereka dan juga kehidupan ahli keluarga,” katanya.

Tambah beliau lagi, mereka mahu merealisasikan impian sama ada ia tempat untuk dipanggil rumah atau sebagai medium pelaburan di mana hartanah merupakan aset yang baik dalam jangka panjang.

BIBD, ujarnya, turut mengakui akan kepentingan untuk memiliki rumah pada usia muda di mana pemohon boleh mengambil tempoh maksimum pembayaran 25 tahun dengan pembayaran balik bulanan yang lebih rendah berbanding memiliki rumah pada usia yang lewat dengan pertambahan bayaran bulanan.

Melalui pameran ini, pemohon produk dan perkhidmatan BIBD yang berjaya akan berpeluang untuk memenangi hadiah utama harian seperti percutian untuk dua orang ke Kota Kinabalu, ketuhar gelombang mikro, pemerah jus buah, pembersih hampa gas, baucar Thomson dan cenderamata BIBD.

Selain itu, pemohon pembiayaan juga layak untuk menyertai Kempen BIBD Barakah di mana mereka berpeluang untuk memenangi sebuah kereta Honda Odyssey.

BIBD juga akan memberi pengecualian yuran sebanyak 50 peratus bagi pemprosesan pembiayaan rumah BIBD dan pembiayaan pembaikan rumah.

Pameran yang dibuka setiap hari dari jam 10 pagi hingga 10 malam kecuali pada Jumaat, yang dibuka dari jam 2 petang hingga 10 malam ini, turut disertai Bess Property, BSTC Real Estate, J-Fa Realty Agency, Precise Development, BIBD Ar-Rahnu, Signature Kitchen, Thomson, Fabrica, Takaful Brunei Keluarga dan Takaful Brunei Am, Max Track, Luzzone Interior, PNK dan Minsan.