Miliki sistem pengurusan bencana teratur menerusi NBOS

Miliki sistem pengurusan bencana teratur menerusi NBOS

TAWAU 9 Jan – Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah mahu setiap daerah di negeri ini mempunyai sistem pengurusan bencana yang teratur menerusi inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bersama agensi kerajaan.

Menterinya, Datuk Jainab Ahmad Ayid berkata perkara itu penting supaya bantuan yang diberikan kepada masyarakat ketika menghadapi bencana adalah lebih teratur dan tiada pertindihan tugasan.

“Bencana ini boleh berlaku pada bila-bila masa tidak kira kebakaran, banjir atau masalah sosial pun adalah bencana, jadi kita ingin sistem pengurusan bencana yang dapat membantu kita menghadapi bencana, malahan melalui sistem ini masyarakat juga akan lebih terdedah dengan prosedur yang perlu dipatuhi ketika berhadapan dengan bencana,” katanya.

Datuk Jainab Ahmad Ayid membantu memakaikan beg sekolah kepada salah seorang penerima bantuan persekolahan yang menjadi mangsa kebakaran di Kampung Batu 2, Jalan Apas kelmarin. – Bernama
Datuk Jainab Ahmad Ayid membantu memakaikan beg sekolah kepada salah seorang penerima bantuan persekolahan yang menjadi mangsa kebakaran di Kampung Batu 2, Jalan Apas kelmarin. – Bernama

Beliau berkata demikian kepada pemberita di sini, hari ini selepas menyempurnakan majlis penyampaian bantuan persekolahan kepada pelajar yang menjadi mangsa kebakaran di Kampung Batu 2, Jalan Apas pada 2 Jan lepas.

Sehubungan itu, Jainab berkata pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan semua agensi agar perkara itu dapat direalisasikan pada tahun ini.

“Saya telah berbincang untuk melakukan sistem pengurusan bencana ini secara NBOS kerana kita maklum setiap agensi jabatan berkaitan bencana ini mempunyai operasi tindakan masing-masing,” kata Jainab lagi. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA