Miliki telefon bimbit mengandungi imej kumpulan IS

Miliki telefon bimbit mengandungi imej kumpulan IS

KUALA LUMPUR, 15 Sept (Bernama) – Seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan memiliki sebuah telefon bimbit yang mengandungi imej berkaitan kumpulan pengganas IS.

Zakariya Ahmad, 27, dari Kepala Batas, Pulau Pinang didakwa melakukan perbuatan itu di bilik tetamu bangunan kem komandan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada 9.05 pagi, 19 Ogos lepas.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda dan boleh dilucutkan hak terhadap mana-mana bahan penerbitan tersebut jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang hanya mengangguk sebagai tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Erry Shahriman Nor Aripin.

Mahkamah menetapkan 30 Okt ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nadia Mohd Izhar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

ARTIKEL YANG SAMA