Miliki wang palsu lebih AS$18,000

Miliki wang palsu lebih AS$18,000

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Jun – Seorang lelaki tempatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Perantaraan di sini, hari ini, atas empat pertuduhan menggunakan dan memiliki wang palsu.

Ali Rahman bin Haji Salat didakwa menggunakan sembilan keping wang palsu AS$100 berjumlah AS$900 di Pengurup Wang Bumi Indah pada 29 Oktober 2011 antara jam 9 dan 10 pagi.

Tertuduh juga menghadapi pertuduhan menggunakan 10 keping wang palsu AS$100 berjumlah AS$1,000 keseluruhannya di Pengurup Wang Ben Kassim pada tarikh yang sama sekitar pukul 11:24 pagi.

Di tempat dan tarikh yang sama, kira-kira 5:40 petang, tertuduh turut didakwa menggunakan 60 keping wang palsu AS$100 berjumlah AS$6,000 dan memiliki 109 keping wang palsu AS$100 dengan jumlah AS$10,900.

Timbalan Pendakwa Raya, Amiriah binti Haji Ali memohon mahkamah untuk menetapkan tarikh perbicaraan, dan akan memanggil lima hingga tujuh saksi untuk memberikan keterangan.

Hakim Pengiran Hajah Hanani binti Pengiran Haji Metussain menetapkan 28, 29 dan 30 September 2015 bagi tarikh perbicaraan, dan membenarkan tertuduh diikat jamin $10,000 atau dua orang penjamin tempatan.

Kesalahan menggunakan wang palsu boleh membawa hukuman sehingga 15 tahun penjara dan denda manakala hukuman bagi memiliki wang palsu pula ialah 10 tahun penjara dan denda.

ARTIKEL YANG SAMA