Militan bunuh tawanan Kanada

Militan bunuh tawanan Kanada

MANILA, 13 Jun (dpa) – Militan Islamis di selatan Filipina hari ini telah membunuh seorang tawanan Kanada selepas wang tebusan tidak dibayar, menurut laporan media tempatan.

Robert Hall, 50, dibunuh selepas tempoh membayar wang tebusan berakhir, menurut akhbar Philippine Daily Inquirer, memetik jurucakap bagi kumpulan pengganas Abu Sayyaf.

Jurucakap, dikenali sebagai Abu Raami, berkata mayat Hall akan ditemui di suatu tempat di kawasan perbandaran pulau Jolo, 1,000km dari selatan Manila, menurut laporan tersebut.

Mejar Filemon Tan, seorang jurucakap tentera serantau Filipina, berkata dia tidak dapat mengesahkan atau menafikan hukuman mati itu. Hall telah ditahan bersama Kjartan Sekkingstad warga Norway dan Marites Flor warga Filipina.

“Kami belum lagi mempunyai laporan dari unit-unit kami di lapangan,” ujarnya.

Raami pada awalnya memberi amaran tamat tempoh pembayaran sebanyak 600 juta peso (AS$13 juta) bagi kebebasan tiga tawanan tidak akan dilanjutkan sehingga 3 petang (0700 GMT) hari ini.

“Kami sudah bercakap perkara ini dalam kalangan ketua kami,” kata Abu Raami pada kenyataan awal, dan semuanya terlibat untuk memutuskan enggan untuk melanjutkan tempoh bayaran.

Kerajaan Filipina telah berikrar untuk menyelamatkan para tebusan, yang diculik dari pulau peranginan selatan, Samal pada September.

ARTIKEL YANG SAMA