Militan diberi ‘terapi perkahwinan’

Militan diberi ‘terapi perkahwinan’

KUALA LUMPUR, 26 Jan – Arab Saudi mengatur perkahwinan sesama bekas militan sebagai ‘terapi’ untuk mengelak mereka daripada kembali ke dunia keganasan.

Kerajaan berharap apabila pasangan berkenaan sibuk dengan tanggungjawab kehidupan berumah tangga, mereka tidak akan terlibat lagi dengan mana-mana kumpulan ekstremis, kata Abdul Rahman Al Hadlag, Pengarah Keselamatan Ideologi, Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi.

Beliau berkata sebagai sebahagian daripada program deradikalisasi prapembebasan, bekas militan akan diberi wang untuk bayaran mas kahwin serta rumah untuk didiami.

“Kami juga mengadakan program penjagaan prapembebasan yang memberi fokus terhadap kegiatan berkaitan keagamaan, kewangan dan psikologi,” kata Abdul Rahman pada Persidangan Antarabangsa Mengenai Deradikalisasi dan Memerangi Ekstremisme Keganasan 2016 di sini hari ini.

Beliau berkata penyelidikan menunjukkan bahawa militan direkrut dengan menggunakan pendekatan 3M – Money (wang untuk mengumpan), Man (manusia yang tidak berpuas hati), dan Mindset (Set minda yang menerima ideologi keganasan ekstremis).

Menurutnya, kebanyakan mereka yang menganggotai kumpulan ekstremis adalah orang bujang, berusia pertengahan dua puluhan tahun, lepasan sekolah tinggi dan dari keluarga kelas menengah.

Menyedari perkara ini, kata beliau, kerajaan menubuhkan pusat kaunseling pemulihan dan penjagaan untuk bekas banduan, menyediakan untuk mereka sesi kaunseling dan kegiatan pembinaan diri dan melengkapkan mereka dengan kemahiran bagi membolehkan mereka mendapat pekerjaan.

“Pada waktu sama, kami memberi bantuan kewangan dan sokongan moral kepada keluarga mereka, memenangi hati dan pemikiran mereka serta mendidik mereka,” katanya.

Abdul Rahman berkata kerajaan mengadakan ceramah dan persidangan secara berterusan, menerbitkan hampir 20 artikel setiap hari, mengedar cakera padat (CD) dan risalah – semuanya yang menentang keganasan.

Katanya Arab Saudi bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa dan berkongsi amalan terbaiknya bagi memerangi keganasan.

Persidangan dua hari itu, yang berakhir hari ini, dihadiri wakil dari negara anggota ASEAN selain Australia, China, Jepun, Perancis, Itali, Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu, United Kingdom dan Amerika Syarikat. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA