Militan Filipina bebaskan tiga tebusan Indonesia

Militan Filipina bebaskan tiga tebusan Indonesia

JOLO, Filipina, 2 Okt – Kumpulan militan di Filipina telah membebaskan tiga orang kelasi Indonesia yang diculik di laut, menurut para pegawai, dalam pembebasan terbaru oleh kumpulan Abu Sayyaf selepas melakukan penculikan di selatan yang bertikai.

Abu Sayyaf telah menyerahkan tiga lelaki kepada kumpulan besar pemberontak di Pulau Jolo, dan kumpulan itu kemudian membebaskan para tebusan kepada pihak berkuasa hari ini, menurut perunding damai kerajaan, Jesus Dureza.

“Penyerahan berjalan lancar dan kini ketiga-tiga mereka itu akan diberikan pemeriksaan perubatan dan disoal untuk mendapatkan maklum balas, sebelum diserahkan kepada seorang wakil Indonesia,” Dureza memberiahu AFP.

Ketiga-tiga mereka itu adalah sebahagian dari sekumpulan kelasi yang diculik oleh Abu Sayyaf pada Jun lalu, menurut pihak berkuasa. Syarat pembebasan tidak didedahkan, tetapi Abu Sayyaf biasanya membebaskan para tebusan selepas pembayaran wang tebusan dibuat.

Seorang askar Filipina mengiringi kelasi Indonesia, Edi Suryono, Muhammad Mabrur Dahri dan Ferry Arifin di bandar Jolo, selatan pulau Mindanao, 2 Okt. Mereka merupakan tebusan terbaru yang dibebaskan oleh kumpulan militan Abu Sayyaf. –AFP
Seorang askar Filipina mengiringi kelasi Indonesia, Edi Suryono, Muhammad Mabrur Dahri dan Ferry Arifin di bandar Jolo, selatan pulau Mindanao, 2 Okt. Mereka merupakan tebusan terbaru yang dibebaskan oleh kumpulan militan Abu Sayyaf. –AFP

Menteri luar Indonesia Retno Marsudi juga mengesahkan ketiga-tiga tebusan itu – Ferry Arifin, Edi Suryono dan Muhamad Mabrur Dahri – telah dibebaskan dan akan diserahkan kepada sebuah pasukan dari kedutaan Indonesia.

Penyerahan hari ini itu adalah pembebasan tebusan yang terbaru yang diselia oleh Nur Misuari, ketua pemberontak Islam dari kumpulan Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF).

Selepas pemberontakan selama berdekad-dekad, MNLF pada masa ini terlibat dalam rundingan damai dengan Presiden Rodrigo Duterte. Abu Sayyaf tidak termasuk dalam proses damai itu.

“Kejayaan baru-baru ini adalah penumpuan usaha yang dilaksanakan oleh Presiden Duterte, yang mendapat kerjasama MNLF,” kata Dureza. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA