Militan IS bom pasar

Militan IS bom pasar

BAGHDAD, 19 Julai – Satu serangan oleh militan Kumpulan Negara Islam (IS) di sebuah pasar yang penuh sesak di wilayah Diyala di Iraq mengakibatkan 115 orang terkorban, termasuk kanak-kanak dan wanita, kelmarin.

Ia dilabel sebagai satu serangan paling berbahaya di negara itu sejak sedekad lalu. Selain itu, 17 lagi mangsa dilaporkan hilang manakala lebih 120 cedera dalam insiden bom kereta besar itu.

Seorang pegawai kanan di Khan Bani Saad, pekan majoriti penduduk Syiah kira-kira 20 kilometer di utara Baghdad lokasi serangan berlaku Jumaat lalu, meletakkan jumlah mangsa cedera kepada 120 orang.

“Jumlah kematian sehingga kini adalah 115, 120 lagi cedera dan antara 17 ke 20 mangsa masih hilang,” kata Abbas Hadi Saleh di tempat kejadian.

Menurut saksi di tempat kejadian, sejurus selepas letupan besar itu, beberapa lelaki pantas mengosongkan kotak tomato untuk menggunakannya mengisi mayat kanak-kanak manakala mangsa orang dewasa didapati berselerak dan menunggu bantuan perubatan.

Dilaporkan, 15 kanak-kanak terbunuh dalam serangan yang meletup di tengah-tengah kawasan pasar pekan berkenaan, ketika orang ramai sedang membeli-belah sebelum sambutan Aidilfitri pada akhir Ramadan.

“Setiap tahun (Ramadan) akan berlaku pengeboman…” kata Saleh. Ini adalah serangan terbesar di Diyala sejak 2003.”

Kerajaan Iraq mengisytiharkan kawasan itu bebas IS pada Januari lalu namun serangan secara berselerak tetap berlaku pada beberapa minggu ini.

IS mendakwa pengebom bunuh diri itu memiliki tiga tan bahan letupan dalam keretanya. Jumlah kematian itu adalah yang terbesar sejak pengganas melancarkan serangan mulai Jun 2014. – AFP