Militan letup saluran paip gas Shell, Agip

Militan letup saluran paip gas Shell, Agip

WARRI, Nigeria, 29 Mei – Militan meletupkan saluran paip gas dan minyak mentah strategik milik Shell dan Aqip semalam dalam kempen sengit yang telah mengurangkan pengeluaran minyak Nigeria kepada separuh, kata militan dan penduduk.

Satu kumpulan militan baru, menggelar dirinya Niger Delta Avengers, melaporkan dalam media sosial bahawa mereka telah meletupkan saluran utama yang menghubungkan terminal Bonny, syarikat Shell dan terminal eksport Brass milik syarikat Itali Aqip. Seorang pemimpin komuniti tempatan Eke-Spiff Erempagamo mengesahkan serangan itu.

Pengeluaran minyak Nigeria telah pun merosot daripada 2.2 juta tong sehari kepada 1.4 juta tong sebelum serangan terbaru ke atas industri minyak di selatan Nigeria, termasuk tiga dalam tempoh satu minggu lalu ke atas kilang syarikat minyak utama AS Chevron. Beberapa syarikat telah memindahkan beberapa pekerja mereka.

Niger Delta Avengers telah memberikan syarikat minyak tarikh akhir pada 31 Mei untuk meninggalkan kawasan Niger Delta di selatan Nigeria.

“Nantikan sesuatu yang besar akan berlaku dan ia akan mengejutkan seluruh dunia,” Avengers mengingatkan semalam, kepada syarikat minyak tempatan dan antarabangsa dan tentera Nigeria.

Dalam satu perkembangan mengejutkan, pemimpin komuniti dan aktivis bukan ganas telah berpihak kepada militan baru-baru ini, berkata penduduk Niger Delta menyokong permintaan mereka untuk memperoleh bahagian yang lebih besar dalam kekayaan minyak negara. Pencemaran minyak telah memusnahkan mata pencarian ratusan ribu petani dan nelayan.

Militan juga berasa marah kerajaan sedang menutup program amnesti tahun 2009 yang telah membayar 30,000 militan untuk mengawal kilang yang pernah diserang oleh mereka.

Kerajaan Nigeria telah menghantar beribu-ribu tentera untuk mempertahankan kilang minyak. – AP