Militan NDA dakwa serang ExxonMobil

Militan NDA dakwa serang ExxonMobil

LAGOS, 12 Julai – Kumpulan Niger Delta Avengers (NDA) mengatakan ia telah meletupkan kemudahan ExxonMobil di selatan Nigeria ketika Shell mengumumkan penutupan saliran paip gas penting.

“Kira-kira jam 7:30 malam (1830 GMT) NDA telah meletupkan saliran paip eksport gas minyak mentah ExxonMobil Qua Iboe 48″,” NDA, yang telah disalahkan atas siri serangan ke atas kemudahan penting gas dan minyak sejak Februari, berkata dalam satu kenyataan lewat kelmarin.

Militan berkata syarikat minyak besar antarabangsa itu telah menafikan gesaannya untuk membatalkan pengeksportan itu. AFP menghubungi ExxonMobil namun tidak ada respons diterima.

NDA mahu syarikat minyak asing keluar dari rantau delta itu, mengatakan penduduk tempatan telah gagal untuk mendapat keuntungan daripada pengekstrakan selama berdekad-dekad yang telah menjana berbilion-bilion dolar.

Ia juga ingin penentuan nasib sendiri dan autonomi politik bagi rantau itu.

Peningkatan dalam pergolakan itu telah mengurangkan pengeluaran di Nigeria yang kaya minyak pada masa negara itu sedang berpulih dari harga minyak mentah global yang telah menghambat hasil pendapatan kerajaan.

Sektor minyak merupakan 70 peratus daripada pendapatan kerajaan.

Secara berasingan, syarikat minyak gergasi Anglo-Dutch, Shell berkata ia menutup Saliran Paip Rentas Niger pada Isnin kerana kebocoran di Gio, di Ogoniland, negeri Rivers, juga di selatan Nigeria.

“Kami sedang mengusahakan lawatan siasatan bersama ke atas punca kebocoran itu, persediaan bagi memperbaiki saliran paip berkenaan,” kata jurucakap subsidiari Nigeria Shell SPDC, Precious Okolobo memberitahu AFP.

Dia tidak mendedahkan isi padu pengeluaran yang ditutup itu, namun saliran paip itu dianggarkan mengalirkan 180,000 tong minyak mentah sehari ke terminal eksport Bonny. – AFP